KUALA LUMPUR – Seorang Exco Armada Bersatu Malaysia kecewa terhadap Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 yang didakwa terus menjadi bualan ramai susulan beberapa isu yang termasuk perbalahan kecil ketika perasmian serta usul mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11.
Berkongsi mengenai perkara itu, Meor Naqiuddin menerusi hantaran di Facebook menzahirkan kekecewaannya terhadap hala tuju PAT kali ini yang disifatkan sebagai ‘sedih dan melucukan’.
“Satu sahaja perkataan yang dapat menggambarkan isi hati saya, Kecewa,” tulis beliau di laman sosial itu.
Meor tidak menolak usul menyokong kepimpinan Muhyiddin namun mengkritik tindakan menjadikan pentas PAT sebagai platform ‘membodek’ dan bukan membincangkan dasar serta isu rakyat.
“PAT sepatutnya angkat aspirasi dan dasar parti bukan ulang drama sama setiap tahun. Ini tahun ketiga usul utama hanya berkisar tentang jawatan presiden dan perdana menteri,” ujarnya.
Beliau turut kesal kerana dasar besar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama hanya disentuh secara ringkas dalam ucapan presiden malah sekadar dijadikan bahan poster media sosial tanpa penekanan dalam sidang PAT itu sendiri.
“Bayangkan kalau berita utama hari itu berbunyi: ‘Bersatu Sepakat Angkat Wawasan Kemakmuran Bersama Sebagai Dasar Menuju Putrajaya’ bukankah itu lebih meyakinkan rakyat?” soalnya.
Meor turut membangkitkan persoalan mengenai strategi parti menjelang PRU-16.
“Adakah hanya dengan mengangkat semula nama Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri akan cukup untuk menang PRU akan datang? Jika ya, kenapa jenama ‘Abah’ tidak mampu bantu kita di PRN Melaka dan Johor?” soal beliau lagi.
Katanya, rakyat memilih Perikatan Nasional pada PRU-15 bukan semata-mata kerana nama ‘Abah’ tetapi kerana tawaran yang jelas, imej bersih dan gerak kerja yang tersusun.
Beliau menyeru agar pemimpin dan ahli parti kembali fokus kepada rakyat dan berhenti bergaduh sesama sendiri.
“Hentikan sengketa ini segera. Jangan sampai orang lihat kita sebagai bahan jenaka dan badut politik.” katanya. – MalaysiaGazette
















