Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan bawah treler di Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah, Batu Pahat kelmarin.

BATU PAHAT – Seorang remaja perempuan maut apabila motosikal ditunggangnya kemalangan dengan sebuah treler di kilometer 7, Jalan Bukit Pasir-Tongkang Pechah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian tersebut yang melibatkan mangsa berusia 16 tahun dipercayai berlaku pada pukul 4.30 petang.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika kedua-dua kenderaan datang dari arah Sri Medan menuju ke Tongkang Pechah.

“Siasatan awal mendapati sebaik tiba di kawasan persimpangan jalan, treler yang membelok ke kanan telah menyebabkan motosikal mangsa merempuh bahagian sisi lori.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal parah di kepala termasuk beberapa organ dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Shahrulanuar Mushaddat berkata, pemandu treler berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau berbahaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast