Beberapa penunggang motosikal terlibat kemalangan semasa l dalam perjalanan ke tempat kerja di Lebuhraya LinKedua, Iskandar Puteri, semalam.

ISKANDAR PUTERI – Dua lelaki cedera dalam kemalangan melibatkan beberapa motosikal yang semuanya dalam perjalanan ke tempat kerja ke Singapura di kilometer 7.2, Lebuhraya LinKedua arah selatan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 6.10 pagi dengan semuanya mahu ke tempat kerja dan bukan sedang berlumba.

“Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha Y15 bewarna biru ditunggang mangsa mengubah laluan dari lorong kiri ke lorong kanan.

“Tindakan berkenaan menyebabkan beberapa motosikal yang datang dari arah belakang merempuh motosikal berkenaan.

“Setakat ini kami hanya menerima satu laporan berkaitan kemalangan itu. Kemalangan itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa, mangsa hanya cedera di tangan kiri dan kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malam tadi tular video kemalangan membabitkan lebih tiga motosikal.

Kumarasan berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 10 LN 116/59 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.

Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan kemalangan itu diminta untuk menyalurkan maklumat ke pejabat pertanyaan Bahagian Siasatan dan Pengurusan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5103122, katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Khairul berkata, dua penunggang yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital selepas diberikan rawatan awal.

Menurutnya, maklumat bilangan kenderaan tidak dapat dikenal pasti kerana semua sudah ditunda kejadian berlaku di laluan kanan menuju ke tol menghala ke Singapura.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast