JOHOR BAHRU – Seorang tukang masak kerugian RM73,220 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham di luar negara yang tidak wujud, sejak April lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang bekerja di Plaza Pelangi di sini.
“Semuanya bermula pada 3 April lalu semasa mangsa berada di tempat kerja dihubungi dua wanita iaitu Lau dan Kah No yang menawarkan saham dan menjanjikan keuntungan lumayan.
“Mangsa tertarik dengan tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan sebanyak 50 peratus dalam tempoh seminggu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa yang percaya melakukan lima transaksi ke empat akaun berbeza, pada 3 April sehingga 7 Ogos lalu.
“Dia menyedari ditipu apabila tidak menerima sebarang keuntungan dijanjikan dan panggilan telah disekat serta rekod perbualan dalam Whatsapp juga dipadam.
“Sumber kewangan mangsa adalah daripada simpanan peribadinya. Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan butiran akaun bank terlibat, merekod keterangan pihak bank, melakukan semakan bersama-sama pihak syarikat telekomunikasi.
Tujuannya kata beliau, untuk mengenal pasti pemilik nombor telefon yang digunakan suspek serta mengesan mereka yang terlibat.
Beliau meminta orang ramai berhati-hati apabila menerima tawaran pelaburan melalui media sosial atau Whatsapp dan melakukan semakan terlebih dahulu.- MalaysiaGazette
















