Jentera Barisan Nasional melaungkan 'radu tetap radu' sebelum memulakan aktiviti berkonvoi menaiki motorsikal yang dipasang bendera BN ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kampung Labut, Tenom, Sabah. foto arkib Malaysiagazette

KUALA LUMPUR – Rekod pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran negeri dan negara akan dijadikan sandaran utama untuk mengembalikan keyakinan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, meskipun kajian Ilham Centre mendapati Gabungan Rakyat Sabah (GRS) lebih dominan merentasi semua wilayah, hakikatnya di lapangan rakyat berdepan dengan keresahan isu-isu asas yang gagal ditangani kerajaan negeri ketika ini.

“BN telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan konsisten dan membawa pembangunan seimbang. Keyakinan rakyat tidak boleh dibentuk hanya dengan laporan atau kenyataan pihak tertentu.

“Yang lebih penting adalah pengalaman sebenar dan kemampuan mengurus,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.

 

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.

 

Ahli Parlimen Libaran itu berkata,  rakyat semakin hilang keyakinan kepada GRS kerana masalah ‘tiga serangkai’ iaitu isu air, elektrik dan jalan raya masih berlarutan tanpa penyelesaian, selain ekonomi yang semakin menekan saban hari.

“Janji peluang pekerjaan hanya tinggal retorik. Realitinya, kehidupan rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang meningkat, sedangkan tiada pelan ekonomi jelas yang menyentuh isi perut rakyat,” ujarnya.

Suhaimi juga menegaskan, sejarah politik Malaysia membuktikan kedudukan sebagai parti pemerintah tidak menjamin kemenangan.

“BN pernah kehilangan kuasa walaupun mempunyai segala jentera kerajaan ketika itu. Itu menjadi bukti bahawa kekuatan sebenar datang daripada sokongan rakyat, bukan kedudukan semasa,” ujarnya.

Dalam konteks itu, beliau menyifatkan ‘Gelombang Biru’ yang bakal berlangsung di Magellan Sutera pada 21 September ini bukan sekadar perhimpunan sebaliknya simbol kebangkitan rakyat Sabah untuk kembali kepada kepimpinan stabil, konsisten dan berwibawa.

“Kami percaya rakyat mahukan kepimpinan yang mempunyai rekod, pengalaman serta integriti. BN dan Umno mempunyai asas tersebut, dan PRN kali ini adalah peluang untuk rakyat membuat penilaian semula,” katanya.

Kajian awal Ilham Centre sebelum ini mendapati GRS berada di hadapan menjelang PRN, dengan kekuatan calon dan pengaruh parti yang lebih ketara di kawasan majoriti Bumiputera Islam serta Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).

Namun, Suhaimi menegaskan, dapatan itu tidak semestinya mencerminkan denyut nadi sebenar masyarakat di akar umbi.

“Apabila rakyat turun mengundi, faktor yang lebih berat pada timbangan mereka adalah isu kehidupan harian dan keyakinan kepada kepimpinan. Dan di situlah BN akan menawarkan pilihan yang lebih stabil untuk Sabah,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast