Dua beranak ditemukan maut dipercayai lemas akibat kebocoran gas pendingin hawa ketika sedang berhenti berehat di tepi Jalan Solok Hilir, Paya Rumput, Cheng, Melaka, tengah malam tadi.

MELAKA – Dua beranak ditemukan maut dipercayai lemas akibat kebocoran gas pendingin hawa ketika sedang berhenti berehat di tepi Jalan Solok Hilir, Paya Rumput, Cheng, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata, mangsa dikenali sebagai Zabanah Abu Hussin, 57, dan anaknya Intan Nur Shafiqah Othman, 25.

Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kecemasan jam 12.24 tengah malam tadi melalui talian MERS 999 daripada orang awam yang menemui kedua-dua mangsa tidak sedarkan diri di dalam kereta terbabit.


Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar

“Hasil siasatan awal mendapati, kita percaya mangsa berusia 57 tahun mungkin kepenatan dan parkir di tepi jalan untuk berehat bersama anak perempuannya berusia 25 tahun yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU).

“Kita syak berlaku kebocoran gas (pendingin hawa) yang masih terpasang bersama enjin kenderaan jenis Proton Exora juga hidup selain semua tingkap tertutup,” katanya.

Dua beranak ditemukan maut dipercayai lemas akibat kebocoran gas pendingin hawa ketika sedang berhenti berehat di tepi Jalan Solok Hilir, Paya Rumput, Cheng, Melaka, tengah malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex Kesidang) anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka di Dewan Bistari, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, siasatan awal pada badan kedua-dua mangsa yang dalam keadaan terbaring di tempat duduk hadapan juga tidak menemukan sebarang kesan jenayah.

“Setakat ini, besar kemungkinan kedua-duanya meninggal dunia akibat terhidu gas kerana difahamkan ibu mangsa juga mengalami masalah kesihatan.

“Polis menolak andaian mangsa bunuh diri namun kita masih menunggu hasil keputusan bedah siasat kedua-dua mangsa yang telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka,” katanya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast