Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, ketika beliau menyampaikan ucapan pada ‘ASEAN–China Ministerial Roundtable on Construction 2025’ di Guilin, China baru-baru ini.

BAYANGKAN sebuah bandar masa depan di Asia Tenggara yang jalan raya dipantau secara digital, pengangkutan awam tanpa pemandu beroperasi tepat waktu dan bangunan hijau menjulang tinggi sambil menjimatkan tenaga.

Namun di celah kemodenan itu, masih berdiri rumah kayu Melayu dengan ukiran halus, deretan rumah kedai di George Town, Pulau Pinang dan Melaka yang sarat sejarah serta ruang awam di mana masyarakat berkumpul seperti zaman dahulu.

Inilah gambaran bandar ideal menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming ketika beliau menyampaikan ucapan pada ‘ASEAN–China Ministerial Roundtable on Construction 2025’ di Guilin, China baru-baru ini.

“Pembangunan berkualiti tinggi mesti mempunyai jiwa, mencerminkan semangat rakyat dan budaya mereka,” katanya di hadapan rakan sejawat ASEAN dan China.

Menurut Kor Ming, pertumbuhan pesat penduduk bandar di ASEAN akan membawa tekanan besar terhadap sistem perumahan, pengangkutan dan infrastruktur sekiranya tiada perancangan proaktif.

Namun krisis berkenaan, katanya, sebenarnya membuka ruang untuk rantau ini mencipta peluang baharu dan menjadi peneraju global dalam pembangunan bandar pintar yang inklusif serta mesra iklim.

Beliau menekankan bagaimana Malaysia sudah melihat hasil nyata daripada penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan seperti kaedah pembinaan moden seperti Industrialised Building Systems (IBS) telah mempercepatkan tempoh menyiapkan projek perumahan awam di samping meningkatkan mutu dan mengurangkan pembaziran.

Pendekatan itu dilengkapi pula dengan Building Information Modelling (BIM) yang membantu mengurangkan kesilapan reka bentuk dan memastikan koordinasi lebih baik di antara pelbagai pihak yang terlibat.

Kemajuan turut diperkukuh dengan penerapan teknologi baharu seperti penggunaan dron, pembinaan modular dan sistem pengurusan digital.

“Semua ini telah menjadikan tapak pembinaan di Malaysia lebih selamat, lebih efisien dan lebih menepati piawaian moden.

“Namun sebalik segala pencapaian teknologi, kita tidak boleh kelihatan seperti sebuah bandar atas batu dan simen semata-mata. Ia memerlukan roh yang lahir daripada budaya dan identiti rakyat.

“Dari rumah Melayu yang indah ke shophouse di George Town dan Melaka, semuanya menceritakan siapa kita. Bandar tanpa jiwa hanya tinggal bangunan kosong. Pembangunan moden mesti mengambil kira elemen warisan dan keaslian tempatan,” ujarnya.

Baginya, warisan bukan sekadar peninggalan masa lalu tetapi sumber inspirasi untuk membina masa depan.

Di Guilin, ucapan Kor Ming turut disertai dengan langkah konkrit ke arah kerjasama serantau dengan pelaksanaan projek perintis bandar pintar termasuk membangunkan pusat kawalan bandar pintar di beberapa bandar tahap dua seperti Ipoh, Perak dan Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kerjasama itu lahir daripada pertemuan dua hala beliau dengan Menteri Pembangunan Perumahan dan Bandar-Luar Bandar China, Ni Hong.

Ia dilihat sebagai gabungan kekuatan yang saling melengkapi: kepakaran digital China dengan kepelbagaian budaya ASEAN.

Jika berjaya, usaha itu mampu meletakkan rantau ASEAN sebagai model dunia dalam pembinaan karbon neutral, penggunaan semula bangunan warisan dan amalan tadbir urus digital.

“Arus urbanisasi pesat bukan sesuatu yang harus ditakuti sebaliknya peluang untuk ASEAN menonjolkan diri di pentas global sebagai rantau yang mampu menyeimbangkan teknologi dengan nilai budaya.

“Ini juga mengapa saya mencadangkan rangkaian ASEAN Smart Cities Network (ASCN) dinaik taraf ke peringkat menteri, bagi mempercepatkan kerjasama serantau dalam pembangunan bandar pintar.

“Bersama-sama, marilah kita membina bandar yang bukan sahaja didayakan teknologi digital tetapi juga kaya dengan budaya. Kita harus bergerak maju tanpa kehilangan identiti,” katanya.

Ucapan Kor Ming di Guilin bukan sekadar peringatan tetapi juga seruan untuk bertindak bagi satu realiti bahawa bandar masa depan ASEAN tidak boleh dibentuk hanya dengan teknologi semata-mata.

Bandar yang benar-benar hidup ialah bandar yang mampu menyatukan kecanggihan dengan akar budaya di mana bangunan moden berdiri seiring dengan cerita lama yang masih bernafas.

Kerana pada akhirnya, bandar pintar sebenar bukan hanya menghubungkan manusia dengan teknologi, tetapi juga menghubungkan mereka dengan sejarah, warisan, dan identiti yang ingin diwariskan kepada generasi seterusnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast