Adly Zahari. Foto AFFAN FAUZI, 14 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pas tidak perlu menyalahkan pihak lain berhubung terkuburnya gabungan Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama UMNO.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Adly Zahari berkata, Pas wajar bermuhasabah dan belajar menghargai persahabatan politik yang telah dibina agar tidak mengulangi kesilapan sama pada masa hadapan.

“Pas tidak perlu salahkan orang lain akibat terkuburnya MN. Sebaliknya mereka perlu muhasabah diri dan belajar menghargai persahabatan,” katanya.

Adly mengulas kenyataan bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki yang menyatakan bahawa keruntuhan MN berpunca daripada hubungan rapat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kegagalan itu bukan berpunca daripada kesilapan Pas seperti yang didakwa oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Rabu lalu, media melaporkan Asyraf Wajdi berkata, UMNO tidak hairan dengan tindakan Pas yang sanggup meninggalkan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) semata-mata untuk bergabung bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menubuhkan PN.

“Patutlah Pas sanggup meninggalkan UMNO dalam MN untuk bersama Bersatu mendaftar dan menubuhkan PN. Memang waktu itu lagi ramai yang memberikan maklumat bahawa Bersatu menawarkan bantuan kewangan kepada Pas untuk menghadapi PRU15.

“Justeru, hari ini apabila bekas setiausaha politik kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri mendedahkan segala perbelanjaan PN termasuk calon Pas ditanggung Bersatu, hanya mengesahkan cakap-cakap waktu itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, mendedahkan keseluruhan kos pilihan raya PN pada PRU15 ditanggung sepenuhnya oleh Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast