Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Subsidi bersasar RON95 hanya boleh dinikmati apabila MyKad dapat mengesahkan identiti penerima semasa mengisi minyak.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution menasihatkan rakyat Malaysia untuk segera memeriksa dan memastikan cip MyKad mereka berfungsi dengan baik.

Bagaimanapun katanya, pengguna tidak perlu bimbang jika cip tersebut rosak atau tidak boleh dibaca kerana mereka membaikinya dengan pergi ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negera di seluruh negara.

“Insya-Allah, pembaikan siap pada hari sama. Mudah dan cepat. Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal supaya anda dan rakan-rakan dapat menerima manfaat subsidi petrol khas ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/07/23/harga-ron95-rm1-99-seliter-susulan-penyasaran-subsidi-akhir-september-ini-pm/

Tambah beliau, harga petrol RON95 dijangka turun kepada RM1.99 seliter pada hujung bulan ini melalui pelaksanaan subsidi bersasar seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, sebelum ini.

“Walaupun ambil masa sedikit, beliau tetap berpegang pada kata-kata. Seorang yang menepati janji. Setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan demi rakyat Malaysia,” katanya.

Saifuddin Nasution menegaskan Kerajaan MADANI komited terus membantu rakyat, menjaga kebajikan semua golongan serta memakmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Pada 23 Julai lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter susulan penyasaran subsidi RON95 akhir September ini.

Katanya, kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast