Fakharuddin Moslim

JOHOR BAHRU – Muktamar Pas ke-71 minggu lalu mendedahkan konflik dalaman Perikatan Nasional (PN) antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Fakharuddin Moslim berkata, konflik paling jelas adalah soal siapa calon Perdana Menteri daripada PN.

“Bersatu mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi  gabungan itu. Namun, Pas melalui kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menyanggah.

“Pas menegaskan bahawa keputusan sebesar itu hanya boleh dibuat Majlis Tertinggi PN secara konsensus, bukan ditentukan oleh satu parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Pemuda Pas pula mencadangkan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Perdana Menteri mewakili PN.

Beliau mendakwa, isu calon Perdana Menteri mencerminkan perebutan kepimpinan sebenar antara Bersatu dan Pas, menunjukkan PN gagal mencapai formula kepimpinan yang stabil.

Jelasnya, ini ditambah lagi apabila Pemuda Pas meluluskan usul bahawa parti itu perlu sedia memimpin PN sekali gus menimbulkan dilema terhadap Bersatu.

“Jika mereka terus mempertahankan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, mereka berisiko menolak aspirasi akar umbi Pas. Namun jika Bersatu berkompromi, imej parti itu sebagai peneraju PN akan luntur,” ujarnya.

Selain itu katanya, Pas juga membangkitkan isu struktur pentadbiran PN iaitu daripada cara membuat keputusan hingga kepada penyertaan parti baharu.

Masalah kepercayaan jelas wujud katanya, apabila Bersatu bimbang terhadap dominasi Pas manakala parti Islam itu pula merasakannya mempunyai legitimasi elektoral lebih kukuh berdasarkan penguasaan negeri dan bilangan kerusi.

Justeru katanya, gabungan sebegini sukar bertahan kerana kedua-duanya bersaing merebut peranan peneraju, bukan sekadar bekerjasama melawan pihak lawan.

Ketua PKR Cabang Tenggara itu berkata, ketika ini timbul pihak mana paling berkuasa dalam PN.

“Pas mempunyai kekuatan kerusi negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis. Bersatu pula bergantung kepada legasi Muhyiddin dan jentera kerajaan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Maka, daripada segi angka, Pas lebih dominan.

“Namun, Pas menghadapi batasan besar, ia sukar menembusi kawasan bandar, majmuk, dan bukan Melayu. Tanpa sokongan segmen ini, Pas tidak boleh menawan Putrajaya secara bersendirian.

“Bersatu cuba mengisi jurang ini, tetapi pengaruhnya juga sudah tidak membesar. Contohnya, Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, PN menerusi Bersatu kalah besar kepada calon Barisan Nasional (BN) yang disokong Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Berikutan itu katanya, ini menimbulkan dilema dan jika gabungan itu terpaksa kekal dengan Muhyiddin, Pas sudah tentu kecewa dan jika sebaliknya pula, Bersatu akan merasakan dirinya tidak relevan.

“Kedua-dua senario ini menunjukkan rapuhnya PN sebagai gabungan jangka panjang. PN berdepan dilema dalaman yang melemahkan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast