PUTRAJAYA – Peralihan kepada sistem subsidi bersasar petrol RON95 atau Budi Madani RON95 (BUDI95) adalah untuk manfaat rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, penjimatan daripada peralihan itu akan diagihkan semula melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas.
“Kerajaan Madani telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia.
“Berbanding harga pam petrol RON95 semasa iaitu RM2.05 seliter, rakyat Malaysia dapat membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter mulai 30 September 2025.
“Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
“Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik.
“Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar memberitahu, semua rakyat layak menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
Katanya, pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan tersebut dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.
Menurut beliau, siling kelayakan bulanan telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan di mana lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia tidak melepasi jumlah tersebut.
“Kerajaan telah mengambil langkah untuk memudahcarakan proses untuk rakyat memanfaatkan harga bersubsidi RON95 antaranya pertama adalah tiada pendaftaran diperlukan manakala kedua hanya satu langkah tambahan, iaitu pengesahan dengan MyKad untuk urusan membeli RON95 pada harga bersubsidi.
“Dan ketiga adalah terminal pembaca MyKad disediakan di dalam kedai stesen minyak dan juga di terminal pam minyak bagi mengurangkan risiko kesesakan.
“Di samping itu, terdapat opsyen digital e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel oleh Petronas dan CaltexGo,” katanya.
Perdana Menteri turut menasihati rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah sebelum peralihan kepada BUDI95.
Bagaimanapun katanya, rakyat tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad sekiranya mereka berjaya menebus bantuan SARA atau Penghargaan SARA kerana itu membuktikan cip MyKad berfungsi.
“Kementerian Kewangan akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung BUDI95 dari semasa ke semasa. Orang ramai disaran untuk merujuk saluran rasmi MOF bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih,” katanya.
Sementara itu, pelaksanaan program BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat untuk memastikan kelancaran sistem tanpa lonjakan penggunaan yang mendadak di mana bermula 27 September ini, sistem BUDI95 dibuka awal kepada 300 ribu anggota tentera dan polis.
Sehari kemudian, sistem BUDI95 dibuka awal kepada penerima STR yang merupakan golongan B40 dan pada 30 September depan, sistem BUDI95 dibuka kepada 16 juta warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif. – MalaysiaGazette
















