Keadaan terkini salah sebuah rumah mangsa insiden bumbung terbang akibat ribut di PPR Seri Cempaka, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 23 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan rumah transit kepada lima keluarga di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Pantai Dalam yang terjejas akibat insiden ribut semalam, selain menerima bantuan awal berjumlah RM1,000 setiap satu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, ribut dan angin kencang kira-kira jam 4 petang itu mengakibatkan bumbung sembilan unit kediaman tercabut serta merosakkan 25 kenderaan penduduk.

“Lima keluarga yang terjejas akan menerima bantuan awal berjumlah RM1,000 serta ditawarkan penempatan di Rumah Transit DBKL,” katanya ketika ditemui selepas meninjau rumah PPR yang terjejas itu, hari ini.

Menurut beliau, lima kenderaan dilaporkan mengalami kerosakan serius manakala selebihnya mengalami kerosakan ringan.

Terdahulu, Zaliha bersama Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin meninjau keadaan di PPR Seri Cempaka dan menziarah keluarga yang terlibat.

Beliau berkata, empat daripada lima keluarga yang terkesan teruk telah berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) Komuniti Lembah Pantai, manakala empat keluarga lain yang hanya mengalami kerosakan kecil akan dibantu DBKL dengan pembaikan segera.

“Bagi empat keluarga lain yang hanya mengalami kerosakan kecil, pihak DBKL akan membantu urusan pembaikan segera di kediaman masing-masing,” jelasnya.

Zaliha memberi jaminan bahawa kerajaan bersama DBKL akan mengambil langkah pantas memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjamin.

“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat. DBKL akan memastikan semua keluarga terjejas mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya sehingga mereka dapat kembali mendiami kediaman masing-masing dengan selesa dan selamat,” ujarnya.

Semalam, kejadian hujan lebat dan ribut petir sehingga menyebabkan empat unit rumah tercabut atap sepenuhnya di PPR Seri Cempaka.

Kejadian itu disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh 15 tahun ini.

Semalam, Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil sudah menyalurkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik dan penyewa unit kediaman yang rosak akibat bumbung tercabut dalam kejadian ribut di PPR berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast