JOHOR BAHRU – Seorang buruh kasar didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol adik ipar bawah umur, pada tahun lalu.
Tertuduh yang berumur 31 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Madihah Zainol.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang mempunyai dua anak didakwa merogol adik iparnya yang ketika kejadian berumur 15 tahun lima bulan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Benteng, Kampung Parit Lapis Sayang, Benut, Pontian pukul 9 pagi pada awal bulan Julai tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh yang juga abang ipar mangsa dan memaklumkan mangsa kini tidak tinggal bersama-samanya.
Bagaimanapun Peguam, Mohamad Isa Mohamad Basir yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima berikutan tertuduh hanya bekerja buruh kasar dan bekerja kampung dengan upah harian tidak menentu.
“Tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai dua anak kecil yang mana salah seorang daripada anaknya mempunyai penyakit sawan.
“Ketika ini mangsa tinggal jauh dari tertuduh dengan jarak 40 kilometer perjalanan,” hujahnya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta tiga syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Selain perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah sekiranya ada.
Mahkamah juga menetapkan 24 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette
















