ISKANDAR PUTERI – Dua penunggang yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura maut kemalangan empat motosikal di Kilometer 1.7 Lebuhraya LinKedua, arah selatan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 6.30 pagi semasa empat motosikal tersebut dalam perjalanan ke Singapura.
“Semua motosikal sedang bergerak di lorong sebelah kanan telah bergesel sesama sendiri dan menyebabkan kemalangan. Keempat-empat motosikal terbabas di lorong yang sama.
“Penunggang pertama iaitu lelaki warga tempatan berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mangsa kedua pula iaitu lelaki tempatan berusia 31 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan patah tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua mangsa tersebut meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kumarasan meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi pejabat pertanyaan Bahagian Siasatan dan Pengurusan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri 07- 5101322.
Video berkenaan kejadian tersebut tular dalam media sosial.- MalaysiaGazette
















