[ARKIB] Kapal Libya, Omar al-Mukhtar mula belayar untuk menyertai konvoi Global Sumud Flotilla pada 22 September 2025.

KUALA LUMPUR – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan kini semakin hampir dengan zon kritikal apabila kapal-kapal yang terlibat mula berdepan pelbagai gangguan dan ancaman.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas beliau menghubungi wakil pelayaran misi berkenaan, Ahmad Musa Al-Nuwayri, sebentar tadi.

Menurut Ahmad Zahid, laporan yang diterima mendapati kapal terbabit menghadapi situasi mencemaskan termasuk berlaku letupan berhampiran laluan pelayaran, kehadiran dron tidak dikenali dan gangguan komunikasi sepanjang perjalanan.

“Sebentar tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah berhubung dengan Ahmad Musa Al-Nuwayri, wakil pelayaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

“Dilaporkan bahawa kapal-kapal flotilla kini semakin hampir dengan zon kritikal dan sedang berdepan pelbagai gangguan serta ancaman, termasuk, letupan berhampiran laluan pelayaran, kehadiran dron tidak dikenali, dan gangguan komunikasi,” kata Setiausaha Akhbarnya, Fadzmel Fadzil dalam satu kenyataan.

Difahamkan, delegasi Malaysia seramai 34 orang terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita adalah sebahagian daripada misi berkenaan.

Kesemua mereka berada dalam 53 kapal flotilla bersama tiga kapal pemerhati dengan penyertaan wakil lebih 45 negara.

Misi kemanusiaan GSF itu membawa pelbagai bentuk bantuan bagi penduduk Gaza yang kini berdepan krisis berpanjangan akibat serangan rejim Israel.

GSF yang memasuki hari keenam kini menghampiri perairan Greece, sebelum bergerak ke Zon Kuning kira-kira 300 batu nautika dari pantai Gaza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast