Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan saman Asian Kitchen (M) Sdn. Bhd. terhadap kerajaan dan empat pihak berhubung penamatan perjanjian yang membawa kepada pengosongan premis restoran berputar Atmosphere 360 di Menara KL, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan permohonan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan Asian Kitchen.

Selain itu, beliau turut membenarkan permohonan berasingan tiga pihak lagi iaitu defendan pertama hingga ketiga untuk membatalkan saman tersebut atas alasan ia tidak boleh dipertahankan.

Fahmi dan kerajaan serta tiga pihak iaitu Hydroshopee Sdn. Bhd., Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. dan MKL Cuisine Sdn. Bhd. disaman berhubung dakwaan penamatan perjanjian pengendalian restoran berputar tersebut.

Menara Kuala Lumpur

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin berkata, plaintif tiada locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tindakan saman terhadap Fahmi dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai defendan keempat dan kelima.

Beliau berpuas hati, plaintif merupakan `pihak asing’ kepada perjanjian konsesi yang dimeterai di antara Menara Kuala Lumpur dan kerajaan.

Ujarnya, pada masa material, kerajaan telah menyerahkan semua operasi, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL kepada Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. mengikut terma dan syarat yang dinyatakan dalam perjanjian.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, Asian Kitchen tidak boleh membawa sebarang litigasi yang berkaitan dengan perjanjian konsesi kerana ketiadaan privasi kontrak antara plaintif dan defendan kelima.

“Dengan ketiadaan hubungan langsung antara pihak-pihak, adalah mustahil untuk mempertimbangkan bahawa defendan keempat dan kelima bertanggungjawab.

“Apabila ia berkaitan kegagalan untuk bertindak (nonfeasance), defendan keempat dan kelima tidak mempunyai kewajiban untuk bertindak melindungi kepentingan plaintif,” ujar beliau.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin seterusnya berkata, niat jahat mesti dibuktikan kerana daripada segi undang-undang, tort of nonfeasance tidak boleh diwujudkan tanpa niat jahat.

“Bagaimana defendan keempat dan kelima boleh berniat jahat terhadap Asian Kitchen jika kedekatan undang-undang tidak mencukupi di antara mereka?

“Pada hemat saya, plaintif dalam situasi ini tidak boleh membina `jambatan khayalan’ dengan menggunakan defendan pertama, kedua dan ketiga untuk mewujudkan nexus atau kedekatan undang-undang yang mencukupi antara plaintif dengan defendan keempat dan kelima.

“Plaintif tidak mempunyai alasan untuk membawa tindakan ini terhadap defendan keempat dan kelima. Oleh itu, permohonan kedua-duanya dibenarkan dengan kos RM10,000,” katanya.

Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin ketika membenarkan permohonan defendan pertama, kedua dan ketiga berpendapat, plaintif sudah mempunyai kes yang sedang berjalan di mahkamah berlainan.

Ujar beliau, saman itu adalah cerminan imej kepada saman tersebut dan terdapat risiko membuat penghakiman bercanggah oleh dua mahkamah serentak.

Beliau turut memberikan kos RM10,000 kepada ketiga-tiga defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Asian Kitchen selaku plaintif berkata defendan kedua (Menara Kuala Lumpur) telah melantiknya untuk mengendalikan, mengurus dan menjalankan perkhidmatan makanan dan minum di Atmosphere 360′ bermula 15 Ogos 2011.

Bagaimanapun, plaintif berkata, pada 2 November 2022, pihaknya telah menerima satu notis yang memaklumkan mengenai perubahan pengurusan defendan kedua (Menara Kuala Lumpur) daripada Telekom Malaysia kepada defendan pertama (Hydroshoppe) berkuat kuasa sehari sebelumnya.

Plaintif berkata susulan pengambilalihan saham defendan kedua dan konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe pada 31 Oktober 2022, satu surat bertarikh 10 November tahun sama telah dikeluarkan bagi menamatkan plaintif sebagai pengendali makanan dan minuman di Menara KL.

Surat itu juga menuntut plaintif mengosongkan serta menyerahkan milikan kosong premis tersebut pada atau sebelum 31 Disember 2022, tanpa memberikan sebarang alasan atau berbincang dahulu dengan plaintif.

Plaintif mendakwa pemberian konsesi oleh Menara Kuala Lumpur kepada Hydroshoppe adalah tidak sah dan terbatal.

Plaintif mendakwa sejak diusir daripada premis itu pada 30 Jun 2023, syarikat berkenaan telah mengalami kerugian dan kerosakan selain mendakwa kerugian itu berpunca daripada penamatan kontrak pekerjaan kira-kira 82 orang kakitangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast