KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Penerbit UMS membuka sebuah kedai buku baharu di sini, semalam sebagai usaha memupuk budaya ilmu dan menggalakkan minat membaca dalam kalangan warga universiti serta masyarakat.
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, kedai buku tersebut bukan sahaja menjadi lokasi urusan jual beli, sebaliknya berfungsi sebagai pusat ilmu yang menghimpunkan pelbagai khazanah pengetahuan termasuk karya warga universiti.
“Kedai buku ini dijangka berkembang sebagai hab pertukaran ilmiah dengan penganjuran program seperti peluncuran buku, pameran penerbitan dan wacana ilmu.
“Ia adalah langkah strategik untuk memupuk budaya ilmu dalam kalangan warga kampus dan masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, kedai buku yang berkonsep moden itu menawarkan penerbitan akademik, jurnal ilmiah, buku bacaan umum, karya popular serta koleksi kanak-kanak.
Ia turut menampilkan Sudut Penulis Universiti sebagai ruang berkongsi dan memaparkan hasil karya pelajar serta kakitangan UMS.
Sementara itu, Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Dr. Patricia Matanjun berkata, kewujudan kedai buku itu menyediakan akses mudah kepada bahan bacaan berkualiti dan berperanan sebagai jambatan ilmu bagi masyarakat.
Majlis pelancaran kedai buku yang terletak di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) itu disempurnakan Prof Dr Kasim dan turut dihadiri Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dan Dekan PPIB, Profesor Datuk Dr. Ismail Ali. -MalaysiaGazette
















