PASIR GUDANG – Dianggarkan lebih 500,000 pengunjung akan memeriahkan Festival Layang-Layang Kebangsaan Pasir Gudang 2025 di Bukit Layang-Layang di sini pada 1 hingga 5 Oktober ini.
Presiden Majlis Pelayang Malaysia (MPM), Datuk A Rahim Nin berkata, festival kali yang dianjurkan bagi kali kedua itu bertemakan Mewarnai Langit, Melestari Budaya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur festival berkata, seramai 142 penyertaan dari seluruh negara akan mengambil bahagian dalam lima kategori.
Ia melibatkan 53 peserta dari lapan pasukan/negeri bagi Kategori Kebangsaan, 21 peserta dari tujuh pasukan/negeri (Kategori Sekolah) dan 32 peserta dari 16 pasukan/negeri (Kategori Pihak Berkuasa Tempatan, Pertubuhan Bukan Kerajaan, Institut Pengajian Tinggi).
Selain itu 25 peserta dari 25 pasukan/negeri (Kategori Terbuka) dan 11 peserta dari tiga pasukan/negeri (Kategori Pengadil,” katanya.
Yang DiPertua (YDP) Persatuan Pelayang Negeri Johor itu berkata, demikian dalam sidang akhbar di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.
Selain itu terdapat empat kategori pertandingan iaitu Pertandingan Peringkat Kebangsaan iaitu Wau Bulan Sobek (motif pokok peria), Wau Merak Sobek (motif pokok lada hitam) dan Bengkel Membuat Wau Kebangsaan.
Pertandingan kategori kedua, Pertandingan Peringkat Sekolah Menengah Johor iaitu Layang-Layang Ciptaan 2D (tema haiwan bersayap), Layang-Layang Malay Kite (tema budaya tempatan) dan Layang-Layang Train Kita (tema warna warni).
Bagi pertandingan kategori ketiga pula adalah Pertandingan Peringkat Terbuka iaitu Rokkaku Challenge dan Layang-Layang LED bercahaya.
Sementara keempat Pertandingan Peringkat Jemputan PBT/IPT/NGO iaitu Bengkel Membuat Wau Kucing (wau tradisi Malaysia).
“Tourism Johor dan Tourism Malaysia selain Persatuan Pelancongan Pasir Gudang antara pihak yang akan mempromosikan festival ini.
“Kita berharap cuaca sepanjang festival tersebut baik. Kehadiran pengunjung akan direkodkan di enam pintu masuk dengan menggunakan teknologi Visitor Tracking System bagi mendapatkan jumlah sebenar pengunjung,” katanya.- MalaysiaGazette
















