KUALA LUMPUR – Serangan terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla disifatkan sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan menuntut tindakan segera komuniti dunia.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, dunia perlu segera menggantung hubungan diplomatik dengan Israel serta memanggil pulang duta masing-masing sebagai tanda protes keras.
“Rejim Zionis itu juga perlu dirujuk ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
“Serangan terhadap flotila yang hanya membawa makanan serta ubat-ubatan ini merupakan serangan terhadap hati nurani manusia. Dunia mesti bertindak sekarang, bukan esok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tindakan tegas antarabangsa perlu merangkumi sekatan kewangan bersasar termasuk penggantungan visa, pembekuan aset dan sekatan ke atas agensi atau syarikat yang terbabit menyokong serangan tersebut.
“Selain itu, embargo senjata segera perlu dikuatkuasakan ke atas Israel, diikuti sekatan perdagangan strategik yang menyokong operasi ketenteraan rejim Zionis itu.
“Hubungan rasmi dengan Israel juga perlu dibekukan melalui tindakan diplomatik kolektif, sekali gus mengasingkan negara itu daripada komuniti antarabangsa.
“Dalam pada itu, satu mekanisme pengawalan antarabangsa seperti misi pengiring maritim yang diluluskan pelbagai negara perlu diwujudkan bagi menjamin keselamatan kapal bantuan,” tambahnya.
Hal ini kerana, dunia tidak boleh hanya bergantung pada siasatan bebas, sebaliknya mesti segera melaksanakan tindakan nyata bagi melindungi nyawa awam dan mempertahankan norma kemanusiaan antarabangsa.
“Oleh itu, kami menyeru kerajaan Malaysia, rakan serantau, blok Eropah, Afrika dan anggota PBB bertindak secara kolektif menggunakan instrumen kuasa yang ada.
“Hanya dengan desakan bersatu, kekejaman Israel dapat ditekan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















