Ab Rahaman menunjukkan sebahagian dadah dan peralatan yang dirampas daripada sindiket dadah, selepas sidang akhkbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Tiga ahli sindiket pengedaran dadah termasuk pasangan kekasih diberkas dalam beberapa serbuan sekitar bandar raya ini minggu lalu dengan rampasan dan sitaan RM3.54 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pada mulanya, pihaknya memeriksa sebuah unit apartment di Taman Delima 2 di sini yang dijadikan tempat memproses, membungkus dan menyimpan dadah jenis ekstasi diperiksa.

Susulan pemeriksaan itu telah membawa kepada penahanan pasangan kekasih tersebut di sebuah bilik hotel di Taman Sentosa di sini bersama-sama sejumlah dadah.

Selepas itu pihaknya menahan seorang lagi lelaki iaitu rakan mereka di tepi Jalan Sutera 3 juga di Taman Sentosa.

Menurutnya, semua serbuan tersebut dilakukan berdasarkan maklumat risikan pada pukul 10.30 malam, 20 September lalu hingga pukul 2.30 pagi, 21 September lalu.

“Kita melancarkan beberapa serbuan dan berjaya menahan tiga suspek warga tempatan berkenaan yang berusia antara 23 hingga 29 tahun itu.

“Selepas mereka ditangkap polis memeriksa unit kediaman yang disewa itu sebelum menemui sejumlah dadah.

“Suspek pertama dan kedua yang juga pasangan kekasih ini berperanan sebagai pengedar manakala suspek ketiga adalah penjaga stor atau rumah yang dijadikan tempat menyimpan dadah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, suspek ketiga juga dipercayai ahli sindiket yang memproses dan membungkus semula dadah berkenaan dan percaya sindiket itu sudah aktif sejak Julai lalu.

Ketika serbuan pertama di bilik hotel, tiga botol berisi cecair disyaki ekstasi sebanyak 1.5 liter dirampas daripada dua suspek berkenaan.

Katanya, ketika tahanan suspek ketiga, polis merampas dua katrij vape mengandungi cecair disyaki ekstasi sebanyak empat mililiter (ml) dan tiga paket serbuk disyaki serbuk ekstasi seberat 119.5 gram.

Ketika serbuan di rumah, polis menemui 64 paket serbuk disyaki ekstasi seberat 4.24 kilogram (kg); 132 botol disyaki cecair ekstasi sebanyak 112.22 liter dan 67 paket serta 20 bekas disyaki sebuk MDMA seberat 19.79 kg.

Selain itu, turut ditemui 74 katrij vape disyaki cecair ekstasi sebanyak 148 ml; enam paket mengandungi 600 biji disyaki pil ekstasi seberat 252 gram dan 12 paket disyaki serbuk ketamin seberat 15 gram.

“Kita turut merampas pelbagai peralatan memproses dadah. Semua dadah seberat 24.41 kg dan 113.87 liter dengan nilai dianggarkan RM3.49 juta ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh 460, 767 orang,” katanya.

Beliau berkata, polis menyita sebuah Volkswagen Passat dipercayai milik kakak kepada suspek ketiga yang digunakannya serta seutas rantai leher warna keemasan sekali gus menjadikan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM3.54 juta.

Ab Rahaman berkata, sumber dadah dan sama ada diedarkan ke negara luar masih dalam siasatan namun pihaknya percaya akan dipasarkan ke pusat-pusat hibutan selain dijual secara dalam talian kepada kenalan.

“Kita juga masih menyiasat dalang utama sindiket ini,” katanya.

Dalam masa sama, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka negatif dadah dan kini ditahan reman tujuh hari sehingga Sabtu ini.

Tambahnya, hanya suspek pertama yang mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast