Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni peniaga pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke 40 Peringkat Kebangsaaan dan Perasmian Pasar Tani Putrajaya di Pasar Tani Kekal, Presint 4, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak serangan bersenjata Israel ke atas rakyat Palestin mahupun 500 peserta Global Sumud Flotilla (GSF) perlu dihentikan segera.

Anwar berkata, meskipun pelbagai cabaran dihadapi rombongan kemanusiaan itu namun beliau percaya usaha untuk menamatkan krisis kebuluran rakyat Palestin akan diteruskan.

“Masih diharapkan berterusan (misi kemanusiaan) dan kezaliman, keganasan Isreal mesti dihentikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Anwar merasmikan Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Pasar Tani Kekal, Presint 4 di sini hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan kapal Alma yang dinaiki 34 sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF dilaporkan diserang 15 dron.

Perkara itu disahkan Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) yang juga ketua rombongan GSF, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman menerusi hantaran di Facebook pagi Rabu.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan meminta bantuan negara sahabat yang berjiran di Palestin untuk membantu 34 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran Misi Kemanusiaan GSF di Laut Mediterranean ketika ini.

Menurut Ahmad Zahid, langkah itu dilakukan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dalam usaha memastikan keselamatan semua peserta misi kemanusiaan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast