PASIR GUDANG – Seorang gadis terpaksa mengorbankan hasratnya melanjutkan pengajian mengejar cita-cita menjadi jurusolek kerana perlu menjaga ibu dan adiknya.
Nur Amalina A Rahman, 21, dari Kampung Tanjung Langsat di sini tidak pernah mengeluh atau menyesal sebaliknya reda dengan ketentuan perjalanan hidupnya itu.
Dia tenang dan lega kerana dapat menjaga ibu, Sri Rahayu Ismadi, 43, yang patah paha bahagian kanan sejak hampir dua tahun lalu.
Begitu juga memberi jagaan kepada adik keduanya, Nur Aima Najwa, 16, yang mengalami masalah sindrom down.
Sebagai anak sulung kepada tiga beradik, katanya, semua tanggungjawab itu dilaksanakan tanpa paksaan dan kerana Allah.
“Saya fikir sekiranya saya sambung belajar siapa yang akan mengurus ibu kerana bapa bekerja sebagai nelayan dan perlu keluar mencari rezeki,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan di sini hari ini.
Nur Aima mengalami masalah sindrom down manakala adik bongsu, Nur Aina Aqeela, 13, masih belajar di tingkatan tiga.
“Saya memang berminat untuk belajar bidang solekan tetapi buat masa ini saya tolak tepi impian saya itu sehingga keadaan ibu pulih,” kata Nur Amalina.
Keluarga Nur Amalina menerima sumbangan barangan keperluan harian termasuk lampin pakai buang dan barangan dapur bernilai RM1,000.
Bercerita lanjut, Nur Amalina berkata, rutin hariannya bermula pukul 6 pagi iaitu mengurus, memberi ubat dan memberi makanan kepada ibunya sebelum menyiapkan sarapan dan makan tengah hari.
Dia juga memandikan dan memberi makan Nur Aima Najwa manakala ayahnya akan membantu semasa tidak ke laut kerana tidak mahu meletakkan semua tanggungjawab tersebut kepadanya.
Nur Amalina bersyukur apabila ibunya masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini diberitahu berpeluang sembuh secara berperingkat-peringkat.
Sementara itu, Sri Rahayu berkata, anggaran pendapatan suaminya hanya sekitar RM600 sebulan dan keluarganya juga menerima bantuan bulanan RM300 daripada Majlis Agama Islam Johor Negeri (MAINJ).
RM300 itu, katanya, hanya gunakan sepenuhnya untuk menampung kos pembelian lampin pakai buang dan apabila kesempitan wang adik-beradiknya membantu.
“Saya juga bersyukur kerana Nur Amalina banyak berkorban demi keluarga, dia tidak pernah mengeluh dan kami sedar dia penat namun dia sentiasa tabah.
“Saya faham pada usia sepertinya, ramai yang mahu bekerja selain mungkin mementingkan hiburan sebagainya namun saya terharu dengan pengorbanannya.
“Sebelum ini saya diberi nikmat memberi jagaan kepada arwah ibu yang juga pesakit kanser, saya tidak jangka kini anak sulung saya mampu menjaga saya pula,” katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank Bank Simpanan Nasional (BSN) A Rahman menerusi 0113729000057992.
Sementara itu, Mas Imran berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mereka.
“Kami sedar kesulitan dialami keluarga nelayan itu yang juga tiada pendapatan tetap,” katanya.- MalaysiaGazette
















