Yahaya Othman

KUANTAN – Seorang pesara wanita mengalami kerugian RM251,500 akibat terpedaya dengan sindiket atas talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 59 tahun itu menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai kakitangan hospital swasta yang mendakwa mangsa membuat tuntutan insurans pada 23 Mei lalu.

“Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan secara panggilan video kepada anggota polis berpangkat sarjan. Suspek mendakwa pesara pengurus kilang terlibat dalam urusan jual beli akaun bank yang digunakan untuk kegiatan penggubahan wang haram serta pembelian senjata api.

“Mangsa diugut bahawa waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya gagal memberikan kerjasama, dan diarahkan menyediakan wang jaminan berjumlah RM378,500,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kemudian mangsa memindahkan wang simpanannya ke dalam satu akaun bank miliknya sendiri serta menyerahkan maklumat kad bank kepada suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

Antara 1 hingga 9 Ogos 2025, mangsa telah membuat lima transaksi pindahan wang seperti diarahkan.

Manakala pada 27 Ogos 2025, semasa membuat semakan baki akaun, mangsa mendapati wang simpanannya telah berkurangan dan hanya berbaki RM109.78.

Mangsa kemudiannya menyedari ditipu setelah diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM150,000.

Polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Masyarakat juga dingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahul sebelum membuat sebarang transaksi.

Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast