PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan meneliti dan mempertimbangkan rayuan daripada golongan nelayan, pekebun serta pemilik perahu dan bot yang menggunakan petrol RON95 supaya mereka turut mendapat manfaat daripada program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari terdapat keadaan tertentu khususnya di Sabah, Sarawak dan Kelantan di mana nelayan kecil atau pemilik perahu menggunakan petrol RON95 walaupun tidak mempunyai lesen memandu atas nama mereka.
“Nelayan dan pekebun memang ada elaun khas selain bantuan diesel tetapi jika ada yang benar-benar menggunakan RON95 untuk perahu atau bot, mereka boleh kemukakan rayuan.
“Saya jamin kerajaan akan bantu mana yang layak. Hal ini tidak membabitkan jumlah yang besar, jadi kita boleh pertimbangkan,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan sempena Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Johan Mahmood Merican.
Pada Isnin lalu, Anwar mengumumkan harga runcit petrol RON95 untuk rakyat tempatan ditetapkan pada kadar RM1.99 seliter, lebih rendah berbanding harga semasa RM2.05 seliter, berkuat kuasa 30 September ini tanpa mengira tahap pendapatan.
Untuk melayakkan diri menerima manfaat inisiatif BUDI95, seseorang mestilah rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas serta memiliki lesen memandu yang sah.
Sementara itu, bagi bukan warganegara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter bermula tarikh sama.
Melalui BUDI95, semua rakyat Malaysia layak menikmati harga subsidi sehingga 300 liter sebulan, manakala pemandu e-hailing diberi tambahan kuota khas bagi menjamin kelangsungan pekerjaan mereka. – MalaysiaGazette















