LONDON – Perdana Menteri United Kingdom, Keir Starmer, hari ini mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan ID digital percuma bagi warganegara dan penduduk di negara itu dalam usaha membendung kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kerajaan berkata langkah itu juga akan memudahkan permohonan perkhidmatan seperti lesen memandu, penjagaan kanak-kanak dan kebajikan, selain melancarkan akses kepada rekod cukai.
ID digital baharu itu akan disimpan dalam telefon bimbit individu dan tidak akan ada keperluan untuk mereka membawa atau diminta mengemukakan ID tersebut, menurut kerajaan.
Namun begitu, ia akan menjadi “mandatori sebagai bukti hak untuk bekerja”.
“Ini akan menghalang mereka yang tiada hak berada di sini daripada mendapat pekerjaan, sekali gus menyekat peluang mereka memperoleh pendapatan, salah satu faktor tarikan utama bagi mereka yang datang ke UK secara haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengumuman ini dibuat ketika parti pemerintah, Labour, bersiap sedia untuk mengadakan persidangan tahunannya, dengan Starmer berdepan tekanan hebat, khususnya mengenai isu imigresen.
“ID digital adalah peluang besar untuk UK… ia juga akan menawarkan pelbagai manfaat kepada rakyat biasa.
“Kami sedang melakukan kerja keras untuk menyampaikan sebuah Britain yang lebih adil bagi mereka yang mahukan perubahan, bukan perpecahan,” kata Starmer.
UK secara tradisi menolak idea kad pengenalan dan tidak mempunyai daftar awam pusat atau keperluan pengenalan diri di tempat awam.
Kerajaan pimpinan Konservatif pada 2011 telah memansuhkan undang-undang oleh kerajaan Tony Blair yang mewujudkan kad pengenalan kebangsaan secara sukarela dan pangkalan data daftar penduduk.
Kemi Badenoch, ketua pembangkang Konservatif, menulis di X bahawa partinya “akan menentang sebarang usaha oleh organisasi ini atau kerajaan untuk mengenakan kad pengenalan mandatori kepada rakyat yang mematuhi undang-undang.
“Kami tidak akan menyokong sebarang sistem yang mandatori bagi rakyat British atau yang mengecualikan mereka yang memilih untuk tidak menggunakannya daripada mana-mana hak kewarganegaraan kami,” tambahnya.
Sebuah petisyen yang menuntut supaya kad pengenalan tidak diperkenalkan telah mengumpul 575,000 tandatangan hari ini, namun tinjauan terkini menunjukkan majoriti menyokong langkah itu.
Pada masa ini, rakyat UK menggunakan lesen memandu, pasport dan bil utiliti sebagai cara pengesahan identiti, bergantung pada keadaan.
Kerajaan berkata ia “akan mendengar pelbagai pandangan mengenai bagaimana perkhidmatan ini akan dilaksanakan”, sebagai sebahagian daripada rundingan awam yang akan dilancarkan hujung tahun ini.
Kerajaan juga berjanji skim ini akan tersedia bagi mereka yang tidak mampu menggunakan telefon pintar.
Katanya, rundingan awam tersebut akan melibatkan kumpulan yang kurang terdedah kepada dunia digital seperti gelandangan dan warga emas, dengan menjadikan negara-negara lain yang telah melaksanakannya dengan baik sebagai panduan. -AFP
















