KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita warga asing dipercayai gadis pelayan pelanggan (GRO) yang mendakwa dirinya warga tempatan akhirnya memakan diri.
Penipuannya akhirnya terbongkar dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Sungai Way, Petaling Jaya semalam.
Operasi bermula jam 10 malam oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menemukan wanita terbabit yang bersembunyi bersama rakan-rakannya lain ketika pemeriksaan di dalam premis berkenaan.
Bagaimanapun tindakan cekap anggota berjaya menahannya dan pemeriksaan mendapati wanita itu adalah warga asing walaupun berlaku ketegangan apabila beberapa individu cuba melakukan provokasi.

Menurut Pengarah JIM Selangor, Kharrul Aminus Kamaruddin, pihaknya telah menahan seramai 30 wanita warga asing dari Laos, Myanmar, Vietnam dan Thailand yang berusia 18 hingga 40 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua wanita itu memasuki ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum menyalahgunakannya untuk bekerja sebagai GRO.
“Siasatan turut mendedahkan wujud agen yang menguruskan kemasukan mereka dari negara asal dan menyediakan tempat tinggal di kondominium sama bangunan dengan premis hiburan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, modus operandi digunakan iaitu pelanggan perlu membuat tempahan melalui aplikasi pesanan ringkas sebelum GRO dibawa masuk ke premis berkenaan.
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan Imigresen 1963 serta dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















