KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor memperuntukkan RM1.5 juta bagi pengurusan pendaftaran mualaf di Selangor dalam usaha memperkasa tadbir urus hal ehwal saudara baru.
Peruntukan itu memfokuskan kepada menyantuni mualaf dari sudut pendaftaran pengislaman yang sempurna serta sah dari sudut perundangan.
Ia juga bagi menggerakkan program outreach komuniti, insentif galakan mualaf serta sokongan kepada badan kebajikan Islam.
“Semua aktiviti dan program ini dilaksanakan secara bersepadu bagi memastikan pembangunan akidah dan sahsiah serta integrasi muallaf ke dalam masyarakat Islam dapat direalisasikan secara mampan dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MAIS, seramai 1,053 mualaf telah didaftarkan pengislaman bermula Januari sehingga Ogos 2025.
Sehingga kini, sebanyak 42 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disediakan oleh MAIS berbanding 39 pusat sebelum ini bagi memudahkan proses pendaftaran pengislaman terutama di Selangor.
Katanya, PPP bertanggungjawab membantu dan memberi konsultasi kepada mana-mana individu yang berhasrat untuk membuat pendaftaran pengislaman dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan daripada mana-mana individu atau pun pihak lain.
Selain menguruskan proses pengislaman, PPP juga memainkan peranan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan serta pengajaran kepada mereka. -MalaysiaGazette















