KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menegaskan Pas sebagai parti bercitrakan Islam boleh sahaja tersilap dalam tindakan-tindakan politik.
Bahkan, kata beliau yang kini Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Islam yang diperjuangkan oleh Pas tidak menjamin tidak berlakunya perbalahan dan pergaduhan sehingga saling menjatuhkan kalangan pimpinan dalam Pas sehingga ke hari ini.
Menurut beliau, Islam sentiasa benar dan tidak pernah salah, tetapi orang Islam yang berpegang dengan Islam mungkin sahaja tersasar dalam percaturan dan tindakan politik.
“Berpegang dengan politik Islam dengan pemakaian soleh jubah dan serban tidak menjamin haloba politik untuk tidak bergaduh saling menjatuhkan dalam politik,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Catatan beliau itu merujuk kepada tulisan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi Minda Presiden semalam yang menyentuh mengenai sejarah kerjasama Pas dengan parti-parti politik lain sepanjang penubuhannya.
Menerusi catatan sama, Mohd Khairuddin yang terlibat dalam Pas selama 33 tahun turut berkongsi beberapa peristiwa perbalahan dalaman Pas termasuk di Kelantan dan Terengganu.
Menurut Mohd. Khairuddin, dasar yang dipegang oleh Pas iaitu Islam tidak menjamin Pas sentiasa betul dalam tindakan politik dalam bekerjasama dengan parti-parti lain.
Malah, katanya, dasar itu juga tidak menjamin pimpinan Pas termasuk Abdul Hadi sendiri sentiasa betul dalam ijtihad politik peribadi beliau.
Ujar beliau, ijtihad kerjasama Pas dengan parti lain sama ada dijenamakan sebagai `tahaluf’ atau `ta’awun’, tidak semestinya menepati Islam, malah mungkin sahaja tersasar.
Dalam masa sama, tambahnya, ijtihad politik parti lain jangan pula dituduh tidak Islam hanya kerana berbeza dengan ijtihad politik Pas.
“Pas adalah parti yang boleh keluar dan masuk manakala Islam adalah agama yang dikongsi oleh para penganutnya dalam pelbagai parti yang tidak boleh keluar masuk.
“Ia juga menunjukkan, tuan-tuan guru keluar daripada Pas apabila berbeza dalam ijtihad politik.
“Apabila mereka bersama dengan parti lain pula ia juga satu ijtihad politik yang tidak mencacatkan iman dan Islam seseorang ahli politik kerana ia hanyalah perbezaan platform dalam mengamalkan politik Islam,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri turut menarik perhatian berkenaan isu dalaman terburainya Pakatan Rakyat (PR) sama ada kerana Pas atau disebabkan parti lain.
“Adakah MN (Muafakat Nasional) terburai kerana Pas pegang Islam atau kerana Pas tersasar membuat ijtihad politik melibatkan MN dan PN (Perikatan Nasional)?
“Atau ijtihad politik Tuan Guru Hj Hadi (Abdul Hadi) yang tersasar yang bercanggah dengan Majlis Syura Ulama Pas? Ini saya akan kupas nanti,” katanya.
Tambah beliau, semua itu melibatkan ijtihad politik yang boleh jadi betul dan salah pada pertimbangan semasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihal berlapang dada dengan ijtihad politik masing-masing dengan tidak memonopoli Islam hanya untuk parti sendiri kerana Islam adalah milik bersama semua orang Islam yang memperjuangkan politik Islam.
“Untuk nota, Perlembagaan UMNO yang dipinda pada 2019 menyebut UMNO ialah parti yang memperjuangkan cita-cita Islam…menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette
















