Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim (dua dari kiri) bersama Pasukan Bomba Sukarela dan Bomba Komuniti terpilih menerima 20 buah bot komuniti.

KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) Pahang mengagihkan 20 buah bot kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Bomba Komuniti terpilih di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, penerima merupakan mereka yang berkhidmat di kawasan paling berisiko banjir.

“JBPM Pahang merupakan penerima bot kedua terbanyak bagi seluruh negara dan saya berterima kasih kepada Ketua Pengarah di atas pemberian jumlah bot yang agak besar untuk diagihkan kepada PBS dan Bomba Komuniti yang selalu berhadapan dengan banjir.

“Mereka ini adalah pihak yang mengambil tindakan awal dan segera jika berlaku sebarang kes memerlukan penyelamatan, pemberian bantuan, pengagihan makanan, pemindahan mangsa dan sebagainya,” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti, Geran PBS dan Sijil Perakuan Bomba di Ibu Pejabat JBPM Negeri Pahang, di sini hari ini.

Mohd Razam memberitahu, pemberian bot berkenaan merupakan sebahagian persediaan awal JBPM dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada bulan November ini sehingga Mac 2026.

“Jadi, sebagai persiapan, kita juga sudah berpesan kepada seluruh balai bomba dan penyelamat (BBP) untuk membuat persiapan awal iaitu memeriksa aset dan menyediakan peralatan-peralatan dalam keadaan terbaik supaya boleh digunakan pada bila-bila masa.

“Di Pahang setakat ini kita ada seramai 930 anggota dan pegawai bomba yang akan bertugas pada bila-bila masa,” tambahnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim (berdiri di belakang, tengah) bergambar bersama penerima Sijil Perakuan Bomba di Ibu Pejabat JBPM Negeri Pahang

Jelasnya, sebanyak 760 hotspot atau kawasan berisiko banjir yang telah dikenalpasti di seluruh negeri Pahang antaranya membabitkan Temerloh (185 kawasan), Jerantut (106 kawasan) dan Kuala Lipis (88 kawasan).

Sementara itu, Mohd Razam memaklumkan terdapat 20 kes melibatkan kejadian lemas dalam tempoh Januari sehingga Disember 2025 di seluruh negeri.

“Saya harap sangat masyarakat mengambil berat jika melakukan aktiviti-aktiviti di air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast