Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian ketika hadir ke Majlis Perasmian Forum Keselamatan Sosial Sedunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto Hari Anggara, 29 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Negara sedang bersiap sedia untuk berdepan masyarakat semakin menua apabila satu daripada tujuh rakyat Malaysia akan melebihi umur 60 tahun menjelang 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, senario itu akan mengubah bentuk masyarakat dengan cara hidup yang mendalam untuk ke arah itu.

Menurut beliau, ini kerana warga emas membawa kebijaksanaan dan kemahiran di mana tugas kerajaan untuk menyediakan penjagaan yang diperlukan bagi membolehkan sumbangan mereka berterusan.

“Kerajaan juga bergerak untuk mengukuhkan rangka kerja undang-undang.

“Sebagai contoh, kerajaan tidak lama lagi akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan untuk memastikan pekerja dilindungi bukan sahaja pada waktu pejabat tetapi di luar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir Majlis Perasmian Forum Keselamatan Sosial Sedunia (WSSF) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, tiada kerajaan boleh menghadapi cabaran keselamatan sosial seorang diri kerana jurang antara negara adalah jelas.

Kata Perdana Menteri, negara kaya kini banyak melabur dalam perlindungan sosial dan negara miskin masih berjuang untuk
menyediakan perkara asas.

“Namun tekanan buat kita adalah perubahan iklim, gangguan teknologi dan anjakan migrasi yang tidak mengenal sempadan.

“Jika modal boleh merentas benua untuk mencari keuntungan maka ukuran perpaduan juga mesti merentasi sempadan atas nama keadilan.

“Kita mesti mula melihat keselamatan sosial sebagai sebahagian daripada ekosistem global.

“Ekosistem itu boleh mengambil pelbagai bentuk menerusi pembiayaan yang lebih kukuh untuk lantai perlindungan, dana global yang dicipta untuk kesihatan dan iklim, cukai yang lebih adil merentasi sempadan serta perkongsian kepakaran dan teknologi supaya tiada negara yang tertinggal,” katanya.

Sementara itu, WSSF 2025 yang merupakan forum dwitahunan peringkat global itu menghimpunkan pemimpin dari 300 organisasi keselamatan sosial seluruh benua bagi membincangkan cabaran perlindungan sosial dalam dunia yang sentiasa berubah dengan pantas.

Forum dengan tema ‘Membentuk Keselamatan Sosial untuk Dunia dalam Peralihan’ itu juga membincangkan peluang yang wujud akibat perubahan demografi global, dinamik pasaran buruh serta kemajuan teknologi, di samping meneroka usaha ke arah memastikan kelestarian isu berkenaan.

Lebih 1,500 perwakilan dari 150 negara hadir, termasuk barisan menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil daripada organisasi antarabangsa.

Antara peserta ternama ialah Ketua Global Bank Dunia dalam bidang Penuaan dan Pencen, Fiona Elizabeth Stewart serta Pengarah Perlindungan Sosial Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Razavi Shahrashoub.

Delegasi dari Amerika Syarikat (AS), China, Jerman, Sepanyol, Brazil, Iceland, Switzerland, Oman, Cameroon, Türkiye, India dan Uruguay juga mengambil bahagian dalam program berkenaan.

WSSF 2025 dianjurkan oleh ISSA dengan kerjasama PERKESO dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast