Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil. - Foto: JAKIM.

KUALA LUMPUR – Sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) merupakan penerima yang sah dan wajar bagi dana zakat.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ia berdasarkan peluasan makna fi sabilillah oleh ulama kontemporari dan sifat misi GSF yang sangat berisiko, berkorban dan bertujuan untuk maslahat tinggi umat Islam.

Menurut beliau, dengan menyalurkan zakat kepada perbelanjaan operasi GSF, umat Islam bukan sahaja memenuhi kewajipan agama, tetapi turut serta secara langsung dalam perjuangan yang berani untuk mematahkan kezaliman dan menyalakan harapan di tengah kegelapan genosid.

“Perjuangan Flotila ini sebenarnya merupakan satu seruan kepada setiap muslim untuk mengukuhkan jihad kemanusiaan ini dengan harta mereka, memastikan bahawa suara keadilan di lautan dapat menembusi sekatan dan sampai ke pantai Gaza,” kataya menerusi Tinta Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Fauwaz berkata, zakat kepada peserta GSF dapat dibincangkan dalam konteks asnaf zakat fi sabililllah.

Pada asasnya, kata beliau, ulama terdahulu seperti ulama Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali menetapkan makna fi sabilillah iaitu orang yang sukarela berperang tanpa diberikan gaji.

“Mereka ini layak menerima zakat walaupun terdiri daripada orang kaya kerana penerimaan zakat itu atas nama fi sabilillah, bukan atas nama fakir miskin,” katanya.

Tambah beliau, dalam konteks GSF, ia merupakan satu usaha untuk melawan kezaliman rejim zionis dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

Katanya, GSF bertekad untuk memecahkan sekatan haram yang mengakibatkan krisis kebuluran yang didorong oleh manusia.

Ujarnya, misi itu adalah usaha kolektif yang berisiko tinggi untuk menegakkan keadilan antarabangsa dan memelihara nyawa umat yang merupakan salah satu maqasid syariah yang paling penting.

“Tambahan pula, peserta Global Sumud Flotilla juga berdepan dengan ancaman langsung daripada musuh seperti ada antara mereka yang diserang oleh dron,” katanya.

Seramai 34 rakyat Malaysia merupakan antara lebih 500 sukarelawan dari 45 negara yang menyertai misi kemanusiaan GSF itu dengan menaiki hampir 70 buah bot.

Mereka akan belayar merentasi Laut Mediterranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast