Noorazam dan Mohd Hairi merakam kenangan bersama-sama pihak penaja selepas sidang akhbar Karnival Ragbi Johor 2025 Edisi ke-13 di Hotel Paragon, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor berhasrat merebut Piala Agong 2025 sekali gus menamatkan penantian selepas pernah menjadi juara pada edisi 2013 dan 2017.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, kebangkitan negeri itu seakan sudah mula kelihatan selepas berjaya menewaskan semua lawan di Kumpulan B semalam.

“Johor pernah menjulang trofi berprestij ini pada 2013 dan 2017 selain pernah dua kali muncul sebagai Naib Juara Pada 2016 manakala tahun lalu pula tewas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pentas final di Shah Alam, Selangor.

“Sudah tentu pada tahun ini kita harap dapat juarai kejohanan ini, kita dah buat (persiapan yang) sepatutnya kita buat. Kita ada barisan pemain yang rata-rata majoriti dari Johor (iaitu hasil) daripada program pembangunan (sukan ragbi) serta pemain import dan pemain naturalisasi.

“Setakat ini kita telah menang perlawanan perkumpulan, kita akan rehat dua minggu hingga bertemu pada pusingan seterusnya iaitu kalah mati bergantung keputusan kumpulan lagi satu, kita akan bertemu dengan siapa (pasukan mana),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan Media Karnival Ragbi Johor 2025 Edisi ke-13 di Hotel Paragon di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Perlawanan Piala Agong 2025 bermula 6 September lalu dan bagi saingan suku akhir dijadual berlangsung pada 11 Oktober ini di empat venue berbeza.

Aksi separuh akhir pula akan berlangsung pada 18 Oktober dia dua venue terpilih sebelum kemucnak kejohanan yang turut menampilkan perebutan tempat ketiga dan keempat dijadual berlangsung pada 26 Oktober ini di Stadium Arena, Univerisiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohd Noorazam berkata, pihaknya berharap pasukan Johor akan terus memperbaiki kekurangan dan fokus dalam usaha mencapai kemenangan.

Sementara itu, karnival ragbi tersebut berlangsung bermula semalam sehingga 5 Oktober ini di Stadium Ragbi Johor, Mount Austin di sini.

Kejohanan itu mencipta satu kelainan dengan pengisian program ragbi selama tujuh hari, kemuncaknya adalah pertembungan 108 sekolah dari seluruh Malaysia selain penyertaan dari Singapura, Indonesia dan Thailand.

Dalam pada itu, Hairi berkata, penganjuran karnival ragbi tersebut bakal diangkat sebagai antara penganjuran sukan terbesar di Johor yang menarik minat pelancong luar menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Stadium Ragbi Johor merupakan stadium ragbi pertama di selatan tanah air dan menegaskan kepentingan penganjuran kejohanan seperti itu untuk perkembangan sukan ragbi di negara ini.

“Karnival ragbi ini adalah yang antara terbesar di Malaysia dan ia akan membantu daripada segi pembangunan sukan ragbi di negara kita.

“Sekiranya kita ingin berjaya di peringkat antarabangsa, perlu memperkasa program di peringkat akar umbi. Jadi, kejohanan seperti ini amat sesuai untuk mempamer bakat yang dimiliki dan tidak mustahil untuk kita melahirkan pemain-pemain yang berkualiti kelak,” katanya.

Beliau menambah, karnival itu menjadi landasan terbaik kepada pemain tempatan untuk bersaing dengan pasukan dari luar negara.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast