KUANTAN – Kontinjen Angkatan Pertahanan Awam (APM) daripada Sarawak mengungguli pertandingan Civil Defence Lifeguard Challenge (CDLC) peringkat Kebangsaan tahun 2025 yang diadakan di Teluk Cempedak, di sini.
Pasukan yang terdiri daripada 23 anggota lelaki dan lapan anggota wanita itu menjuarai pertandingan dwi-tahunan berkenaan selepas merangkul pingat dalam enam daripada lapan acara yang dipertandingkan.
Ketua Kontinjennya, Kapten Pertahanan Awam (PA) Madihi Habib berkata, pasukannya mengenengahkan hampir 80 peratus wajah baru berbanding edisi sebelum ini sebagai strategi untuk bergelar juara keseluruhan.
“Dua tahun lepas kontinjen kami tempat ketiga. Edisi pertama kami juara.
“Program ini penting untuk menguji tahap kecekapan, disiplin dan respon pasukan penyelamat pantai. Jadi, CDLC merupakan satu platform untuk menguji tahap kemampuan pasukan daripada setiap negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan CDLC 2025 yang disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut mengiringi baginda ialah Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed.
Sementara itu, Aminurrahim berkata, penganjuran CDLC yang bermula pada 26 September hingga 30 September kali ini melibatkan APM Negeri/Pusat Latihan (14 Kontinjen), Agensi Kerajaan (6 kontinjen), Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) (8 Kontinjen) dan Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KASPA) Pahang (8 Kontinjen).

“Penganjuran CDLC tahun ini juga memartabatkan negeri Pahang sebagai tuan rumah dengan kerjasama Tourism Pahang dalam usaha sektor pelancongan negeri.
“Malaysia memiliki garis pantai sepanjang 4,800 kilometer, indah namun penuh risiko. Lebih 600 kes lemas direkodkan setiap tahun. Sejak 2009, APM menangani lebih 12,000 kes kecemasan pantai. Justeru, kehadiran penyelamat pantai kini menjadi satu keperluan mendesak,” kata Aminurrahim dalam ucapannya.

Selain meningkatkan keselamatan pelancong, katanya penyelamat pantai APM mengukuhkan imej negara, serta melindungi nyawa rakyat.
Justeru, katanya CDLC bukan sekadar pertandingan, tetapi platform mengukur kompetensi, disiplin, dan keberanian penyelamat pantai.
Disiplin kejohanan CDLC adalah berpandukan International Life Saving Federation (ILS) dengan mempertandingkan acara pantai seperti Beach Sprint Relay, Beach Flag, Surf Board Relay, Run-Swim-Run, Ocean Endurance, Rescue Tube dan Rigid Inflatable Boat (RIB) Race. – MalaysiaGazette
















