KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan lima peneroka haram termasuk seorang pekerja kilang durian direman empat hari kerana disyaki mengusaha kebun tanaman durian serta terlibat dalam amalan pengubahan wang haram.
Kesemua mereka disyaki memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang daripada aktiviti hasil tanaman pokok durian di tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di Pahang.
Perintah reman selama empat hari itu sehingga 3 Oktober terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas permohonan dibuat SPRM Pahang di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan antara 40 hingga 60-an telah ditahan kira-kira antara jam 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub, Pahang.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 hingga 2025 dan mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.
“Kesemua suspek, empat daripadanya merupakan pekebun dipercayai terlibat dalam urus niaga haram ini secara turun temurun yang juga didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai pemegang pajakan tanah sah oleh kerajaan negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Rentetan Op Sekat Durian Haram yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Pahang bermula 25 April lalu, SPRM Pahang telah menjalankan operasi secara bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bermula 2 hingga 19 September lalu dalam usaha mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















