KUANTAN – Seramai 1,650 pelajar terdiri dari tingkatan 4 dan 6 dari kawasan Parlimen Paya Besar menyertai program Industrial Mind 2025 @ Paya Besar, yang berlangsung hari ini.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, kesemula pelajar daripada 13 sekolah menengah sekitar kawasan Parlimen itu dibawa melawat ke kawasan perindustrian dekat Gebeng,
Program berkenaan memberi pendedahan dan pengalaman kepada pelajar sekolah menengah untuk menerokai peluang pekerjaan dan industri yang boleh diceburi apabila mereka menamatkan pengajian di sekolah atau pengajian tinggi mahupun program lanjutan TVET.
”Program ini dicetuskan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan PahangGO bagi memberi ruang anak-anak pendedahan awal dan apa perlu mereka siapakan diri untuk menyertai industri.
“Kita bawa pelajar-pelajar ini dari pagi, ke kilang-kilang besar, ke agensi seperti Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Perkeso, TNB, ECRL dan juga MCKIP. Respons yang diterima oleh anak muda sangat positif,” katanya.
Tambahnya, idea untuk menganjurkan program ini hasil perbincangan untuk melaksanakan satu program yang memberi impak bagi jangka masa panjang.
Ujarnya, setiap pelajar mempunyai penilaian sendiri dalam kecenderungan mereka untuk mahu menyertai sektor pekerjaan berasaskan TVET atau kemahiran lain.
“Tiada yang akan terpinggir. Paling penting kita nak pastikan semua pelajar, dan tidak ada yang ditinggalkan dalam mendapat pendedahan berkaitan peluang pekerjaan yang menanti mereka apabila menamatkan persekolahan,” tambahnya.
Melihat keberkesanan porgram itu, bekas Timbalan Menteri Kewangan itu tidak menolak kemungkinan akan menganjurkan program seumpama itu pada tahun hadapan. – MalaysiaGazette
















