Irwan Fahmi Ideris

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia khususnya generasi muda diingatkan agar tidak lupa sejarah hitam yang pernah menimpa umat dan bangsa di tanah air ini akibat campur tangan kuasa penjajah.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, nama Sir Harold MacMichael seharusnya menjadi satu peringatan kekal terhadap bagaimana penjajahan British telah menjejaskan Palestin dan Tanah Melayu melalui dasar dan tindakan yang menindas hak rakyat asal.

“Di Palestin, antara tahun 1938 hingga 1944, MacMichael sebagai Pesuruhjaya Tinggi British telah membuka ruang besar kepada penghijrahan zionis Yahudi, sekali gus menjadi punca utama tanah rakyat Palestin dirampas dan mereka diusir dari tanah air sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kehadiran MacMichael ke Tanah Melayu pada 1945 hingga 1946 sebagai wakil British turut membawa agenda penjajahan apabila beliau menggunakan ugutan dan manipulasi untuk memaksa Raja-Raja Melayu menandatangani perjanjian menerima Malayan Union.

“Tindakan itu hampir menghapuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu,” ujarnya.

Menurut Irwan Fahmi, persamaan antara peristiwa yang berlaku di Palestin dan Tanah Melayu melalui watak yang sama Harold MacMichael jelas membuktikan bagaimana kuasa asing telah mencampuri urusan negara lain melalui paksaan dan undang-undang kolonial.

Antara persamaan yang ditunjukkan kata beliau, iaitu campur tangan kuasa asing dengan paksaan, hak rakyat asal diketepikan, undang-undang dan mandat kolonial dijadikan alat menghalalkan penjajahan dan kebangkitan rakyat tempatan sebagai tindak balas terhadap pengkhianatan.

“Jika rakyat Palestin masih berjuang sehingga hari ini, kebangkitan orang Melayu dahulu telah berjaya menggagalkan rancangan Malayan Union dan membawa kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948,” ujar Irwan.

Sementara itu menerusi kenyataan sama, Irwan Fahmi berkata, Perkasa menyeru rakyat Malaysia supaya mendoakan keselamatan delegasi negara dan para aktivis yang menyertai Global Sumud Flotilla dalam misi kemanusiaan menuju Gaza.

“Semoga segala urusan mereka dipermudahkan, dilindungi daripada sebarang bahaya dan selamat kembali ke tanah air. Keberanian mereka adalah kesinambungan perjuangan menegakkan keadilan dan hak asasi manusia,” katanya.

Irwan turut menegaskan, pengajaran daripada sejarah perlu dijadikan iktibar agar bangsa ini tidak sekali lagi lalai sehingga membuka ruang kepada pengkhianatan baharu terhadap agama, bangsa dan tanah air.

“Sejarah tidak boleh dipadam. Peringatan ini adalah satu amanah untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast