SEPANG – Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan kapal Sirius, Estrella, Alma dan Huga yang mengikuti misi Sumud Global Flotilla (GSF) sudah ditunda masuk ke Pelabuhan Ashdod milik Israel.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya menjangkakan sebahagian daripada delegasi yang menaiki kapal berkenaan sudah dipindahkan ke darat.
Untuk rekod, terdapat empat delegasi Malaysia yang menaiki kapal Sirius iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli dan Rusydi manakala kapal Estrella dinaiki PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman.
Rakyat Malaysia yang berada di atas kapal utama Alma yang turut membawa aktivis global, Greta Thurnberg adalah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil.
Sementara itu, Zizi Kirana menaiki kapal Huga.
Ketika ditanya mengenai nasib seorang lagi delegasi Malaysia, Ardell Aryan yang menaiki kapal Mikeno, Sani berkata, artis berkenaan dianggap sudah tidak lagi berada di dalam bot berkenaan.
“Berdasarkan corak biasa selepas pintasan, semua peserta akan dibawa ke darat untuk soal siasat dan seterusnya ditahan.
“Melihat kepada apa yang berlaku di dalam tracker dan juga ke atas apa yang berlaku daripada maklumat yang kita perolehi, kita jangkakan Ardell tidak lagi di atas kapal,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan segera mengadakan pertemuan dengan keluarga 23 delegasi Malaysia bagi memberikan perkembangan terkini dan memastikan mereka mendapat makluman secara rasmi.
Selain itu katanya, SNCC juga akan memastikan keluarga kesemua rakyat Malaysia terbabit mendapat sokongan yang sewajarnya.
Terdahulu, Sani mengesahkan SNCC mendapat makluman rasmi pada jam 4.25 petang tadi bahawa kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan rejim Israel selepas lebih 20 jam insiden pintasan berlaku. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Lima peguam Malaysia berada di Amman, pastikan delegasi GSF Malaysia dapat perlindungan
















