KUALA LUMPUR – Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal dalam misi kemanusiaan flotila termasuk 12 rakyat Malaysia, serta pembebasan kapal-kapal mereka.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Malaysia turut menuntut supaya penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dipastikan dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.
Kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra menambah, Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa Global Sumud Flotilla (GSF) merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang sah dan aman, yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza.
“Pada saat rakyat Palestin sedang berhadapan dengan genosid, kebuluran, krisis kesihatan yang meruncing dan penderitaan berpanjangan, misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.
Setakat pukul 10 pagi tadi, seramai 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza.
Menurut Wisma Putra, Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan jenayah dan kekerasan yang bersifat pengecut oleh pihak Israel terhadap GSF yang merupakan satu misi kemanusiaan aman yang membawa bantuan ke Gaza.
Katanya, tindakan tanpa provokasi dan sembarangan itu merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Sehubungan itu, ujarnya, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan segera dan konkrit untuk menghentikan tindakan Israel yang bebas dari sebarang hukuman, menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas perbuatan tersebut.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Malaysia kekal teguh menyokong segala usaha murni bagi mencapai penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berkekalan, termasuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. – MalaysiaGazette

















Jika Rejim Zionist Isreal ancam nyawa rakyat Malaysia maka kita perlu ambil tindakan tegas termasuk menghantar unit elit kita sepertimana kes Semaolia atau Black hawk down.
Kehebatan unit elit kita memang digeruni di luar kerana tekad kita yang kuat serta berani..
Jika mereka tidak dibebaskan segera maka Zionis Isarel memamg mencari bala