SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan membuat panggilan kepada rakan sejawatnya dari Turkiye, Mesir dan Arab Saudi bagi membincangkan tindakan lanjut susulan penahanan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby berkata, panggilan itu akan membabitkan pemimpin negara terkenal seperti Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi
Kata beliau, pihaknya berharap Anwar dapat mewakili suara misi tersebut untuk membincangkan pelaksanaan yang sangat terhad untuk dilakukan GSF.
Ujarnya ia membabitkan laluan diplomatik dan hubungan erat antara Malaysia dan juga negara-negara besar termasuk daripada United Kingdom, Sepanyol dan sebagainya.
“Kita berharap dapat runding agar semua semua delegasi dibebaskan dengan segera dan pastinya kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan kerana walaupun kita sudah menjangkakannya.
“Kita merasakan ini adalah tindakan yang racun dan juga tidak patut dilakukan kepada masyarakat sivil yang berkali-kali membuat kenyataan bahawa misi ini tidak melanggar mana-mana perundangan, jenayah tetapi datang membawa misi kemanusiaan,” katanya.
Belia berkata demikian pada sidang media harian perkembangan delegasi Misi Sumud Flotilla di Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, SNCC memaklumkan bahawa pasukan Legal GSF yang melibatkan rangkaian peguam dari 45 negara kini berada dalam keadaan siap siaga.
Katanya, barisan Legal Malaysia diketuai oleh Tuan Azril daripada CENTHRA (Centre for Human Rights Research & Advocacy) sudah berada di Amman, Jordan bagi menyelaras hal perundangan berkaitan delegasi Malaysia dan flotila.
“SNCC memaklumkan sekretariat GSF bekerjasama dan melantik The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) sebagai wakil rasmi perundangan khususnya untuk delegasi Malaysia berdepan situasi soal siasatan dan tahanan,” katanya. – MalaysiaGazette
















