SEPANG – Kapal Mikeno yang membawa selebriti Ardell Aryana semakin menghampiri Pelabuhan Gaza biarpun gagal dihubungi sejak serangan pintas oleh rejim tentara Israel awal pagi tadi.
Menerusi sistem penjejak di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) secara langsung, kapal itu dijangka sampai di pelabuhan tersebut dalam tempoh dua jam lagi.
Kira-kira pukul 6.00 pagi tadi, Ardell, 35, sempat membuat sesi langsung (live) selama beberapa minit yang memaparkan situasi mencemaskan.
Melalui video itu, Ardell atau nama sebenar, Nurul Hidayah Mohd Amin berzikir beberapa kali dengan kedengaran suara lelaki dipercayai tentera Zionis.
“Kami diseksa,” kata Ardell yang sempat membuat dua ‘live’ pendek sebelum talian tiba-tiba terputus.

Sebelum itu, Ardell yang juga ibu kepada seorang anak perempuan sempat membuat kemas kini di Instagram Story (IGs) memaklumkan yang tentera Israel cuba memutuskan semua talian internet mereka.
Pada sidang media harian di SNCC hari ini di sini, seramai 12 rakyat Malaysia antara 201 daripada 497 orang peserta flotila telah ditahan di atas kapal oleh tentera rejim Israel setakat ini sejak berlakunya serangan awal pagi tadi.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby memberitahu, delegasi Malaysia yang berada di kapal Mikeno dan Inana tidak dapat dihubungi sejak serangan itu iaitu Ardell dan Razali Awang.
Menurutnya, sembilan delegasi Malaysia berada di kapal Free Willy, Fair Lady dan Estrella belum dipintas dan sedang meneruskan pelayaran ke Gaza.
Sebelum itu, Ardell juga sempat berkongsi mesej daripada tentera Israel kepada kapal lain yang menyertai misi itu melalui signal radio di kapalnya yang mengugut untuk memenjarakan mereka. – MalaysiaGazette
















