KUALA LUMPUR – Global Sumud Flotilla (GSF) disifatkan misi kemanusiaan dan inisiatif antarabangsa menghimpunkan doktor, aktivis, sukarelawan, ahli politik dan masyarakat demi menyampaikan bantuan kepada Gaza.
Namun tindakan rejim Israel memintas konvoi kemanusiaan GSF ke Gaza semalam terus mendapat kecaman rakyat Malaysia termasuk golongan perubatan yang menzahirkan solidariti bersama aktivis terbabit.
Bagi Dr Afif Mohd Ridzwan, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis GSF termasuk para doktor yang menyertai misi kemanusiaan itu.
Katanya sebagai doktor, beliau mengagumi semangat perjuangan para doktor yang menyertai misi GSF demi memberi bantuan ubatan dan rawatan kepada rakyat Gaza.
“Namun rasa hancur luluh hati apabila membaca laporan media serta media sosial apabila rejim Israel menghalang misi mulia itu. Sedangkan kita tahu secara terang-terangan ia adalah misi kemanusiaan.
“Namun tindakan tersebut tidak berperikemanusiaan dan jelas melanggar prinsip hak asasi manusia kerana sekaligus menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, seramai hampir kesemua daripada 23 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza.
Mengulas lanjut, Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain turut menyeru agar rakyat Malaysia berkongsi sebanyak mungkin tentang GSF dalam media sosial agar satu dunia tahu ini ia adalah misi kemanusiaan.
Bukan itu sahaja, tegas beliau, semua pihak perlu bersatu dalam hal ini untuk terus menyebarkan apa sahaja mengenai GSF dan Palestin serta ia bukan satu bentuk provokasi yang didakwa pihak rejim Israel.
“Masing-masing ada cara atau strategi untuk tularkan video atau mesej berkaitan apa yang kita perjuangkan sekarang. Mereka saudara kita, kalau bukan kita, siapa lagi?
“Dalam masa yang sama, abaikanlah komen-komen negatif netizen yang menggunakan kesempatan ini untuk meraih perhatian. Jangan dilayan,” tambahnya lagi. – MalaysiaGazette
















