KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh sistem keselamatan sosial dengan memperluaskan perlindungan kepada suri rumah, pekerja gig dan pekerja migran.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, langkah itu selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan keadilan dan keselamatan untuk semua.
Beliau menjelaskan, antara reformasi utama ialah perlindungan insurans sosial untuk suri rumah termasuk skim pencen khas melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain undang-undang buruh baharu yang diluluskan pada hujung Ogos lalu bagi menjamin keselamatan sosial pekerja gig.
“Bermula tahun lalu, liputan penuh insurans sosial juga diperluaskan kepada pekerja migran dengan kadar liputan keselamatan sosial meningkat sekitar 63 hingga 64 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Manakala pembayaran faedah kepada pekerja cedera telah ditingkatkan sehingga 20 peratus menerusi pindaan undang-undang tahun lalu,” katanya ketika Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) di sini hari ini.
Forum lima hari itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari 135 negara, termasuk menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Bank Dunia.
Dalam pada itu, Steven berkata kerajaan sedang merangka rang undang-undang baharu untuk menyediakan perlindungan 24 jam kepada semua pekerja termasuk risiko penyakit dan tekanan selepas waktu kerja memandangkan masih ramai yang tidak memiliki insurans peribadi.
“Selain perlindungan menyeluruh, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga giat menjalankan kempen kesihatan dan keselamatan pekerjaan termasuk saringan perubatan percuma serta kempen tanpa gula yang dilancarkan tahun lalu bagi mengurangkan penyakit tidak berjangkit.
“Kos akibat diabetes sahaja mencecah hampir AS$100 juta setahun,” katanya.
Daripada segi penyampaian perkhidmatan, Steven menjelaskan, proses digitalisasi PERKESO telah mempercepatkan pengeluaran surat jaminan hospital daripada tiga hari kepada 24 jam dengan sasaran dipendekkan lagi kepada satu jam menjelang hujung tahun ini.
Manakala permohonan perkhidmatan manfaat dialisis pula dipendekkan daripada 40 hari kepada tujuh hari.
“Saya rasa ini sangat penting kerana meskipun kita mempunyai pelbagai fasiliti dan dasar, ujian sebenar sesebuah institusi adalah sejauh mana ia mampu menyampaikan manfaat itu kepada rakyat dengan cepat dan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette
















