Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan ke Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Sepang, Selangor. 30 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala daya dan upaya sedang digembleng bagi memastikan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi.

Beliau yang juga Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara menyampaikan perkara itu ketika berhubung dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Datuk Sani Araby pada pagi tadi.

“Pagi ini, saya telah berhubung dengan saudara Sani Araby, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center bagi mendapatkan perkembangan terkini terkait usaha membawa pulang aktivis dan sukarelawan Malaysia.

“Sebagai Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara, saya turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia selain meminta agar keadaan kesihatan dan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman pagi tadi mengesahkan peserta GSF yang ditahan tentera Israel telah mula dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel semalam.

Jelasnya, barisan peguam GSF sudah mula berhubung dengan para sukarelawan yang ditahan bagi memberikan bantuan guaman.

Sebagai rekod, seramai 23 rakyat Malaysia kini ditahan dan Wimsa Putra mengesahkan kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Dalam pada itu, lima peguam Malaysia yang juga aktivis hak asasi kini ditempatkan di Amman, Jordan untuk memastikan layanan telus terhadap sukarelawan negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast