Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar menunjukkan gambar 9 orang delegasi Malaysia diketuai oleh Humanitarian Care Malaysia(MyCARE) yang berlayar ke Palestin dengan menggunakan kapal Conscience di Pejabat HQ Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 OKTOBER 2025

SERDANG – Pelayaran misi flotilla terbaharu, Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) yang melibatkan sembilan delegasi Malaysia telah memasuki Laut Mediterranean dan kurang 400 batu nautika untuk sampai ke pantai Gaza, Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, mereka dijangka memasuki ke lautan zon kuning pada bila-bila masa dalam tempoh 24 jam ini.

Menurut beliau, berdasarkan pengalaman lalu, kapal misi akan dipintas, dirampas dan ditahan sewaktu berada di zon merah iaitu 100 batu nautika dari Gaza.

“Misi kali ini memfokuskan kepada misi membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan dan aktivis ke Gaza. Selain itu, kapal Conscience membawa bantuan perubatan dan makanan bayi kesemua berjumlah RM500,000.

“Untuk rekod, siri pemintasan kapal secara haram oleh rejim Zionis Israel di bawah misi FFC lain termasuk kapal Zaytouna pada 2016, Al-Awda (2018), Conscience, Handala dan Madleen pada tahun lalu yang turut melibatkan penahanan tokoh terkenal dan sukarelawan dari lebih 40 negara,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar menunjukkan gambar 9 orang delegasi Malaysia diketuai oleh Humanitarian Care Malaysia(MyCARE) yang berlayar ke Palestin dengan menggunakan kapal Conscience di Pejabat HQ Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 4 OKTOBER 2025

Delegasi Malaysia itu diketuai oleh MyCARE yang membawa lapan delegasi Malaysia belayar di atas kapal Conscience dan seorang lagi delegasi di atas kapal layar, Umm Saad.

Conscience yang merupakan kapal terbesar melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.

Mereka seramai 93 perserta dari 22 buah negara telah berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.

Lapan wakil Malaysia berada dalam kapal adalah Prof Emeritus Dr Mohd. Alauddin Mohd Ali yang juga Ketua Delegasi Malaysia dan tiga doktor perubatan iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Dua pensyarah turut serta iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Sementara itu, doktor perubatan, Dr Maziah Muhammad berada di atas Kapal Umm Saad bersama tujuh kapal layar lain yang telah berlepas dari Catania di Sicily menuju ke Gaza pada 27 September lalu.

Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara termasuk sembilan delegasi Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast