KUALA LUMPUR – Walaupun misi Global Sumud Flotila (GSF) tidak sampai ke Gaza, namun para peserta itu berjaya menyebarkan kesedaran kepada ratusan juta rakyat seluruh dunia tentang penentangan keras rejim zionis Israel terhadap bantuan kemanusiaan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, usaha menyebarkan kesedaran itu disifatkannya sangat berjaya kerana tersebar di seluruh pelosok dunia.
“Pada hemat saya (misi GSF) sangat berjaya. Mereka (para peserta) tahu tidak mudah untuk sampai ke Gaza di bawah penjajahan rejim Israel, tetapi mereka telah memberi sumbangan yang besar, kesedaran besar kepada ratusan juta rakyat di dunia.
“Rejim (zionis) ini tidak hanya menentang tetapi mereka (Israel) juga melarang, menghindar dengan keras apa juga bantuan kemanusiaan,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Usaha pembebasan aktivis dan sukarelawan Malaysia serta Pelan Damai Gaza menerusi siaran langsung di Facebook.
Tegasnya, tindakan balas rejim terhadap misi bantuan kemanusiaan GSF ini merupakan bukti jelas Israel tidak bertamadun.
“Ini hanya berlaku, kalau negeri itu dipimpin oleh pihak yang mempunyai falsafah yang sangat kejam (dan) tidak bertamadun.
“Negara yang bertamadun, sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan. Ini pengajaran yang tersebar ke seluruh dunia dan saya percaya rundingan mutakhir yang digagaskan oleh Presiden Donald Trump itu juga berhasil sebahagiannya kerana sentimen yang menyeluruh daripada seluruh rakyat dunia,” tambah beliau.
Terdahulu beliau mengumumkan 23 rakyat yang menyertai Misi GSF dilepaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad malam atau Isnin.
Dalam masa yang sama, Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang tidak berganjak supaya Palestin dibebaskan.
“Tetapi keputusan Malaysia Madani ini tentunya terikat dengan keputusan negara-negara Arab, negara-negara Islam dan keputusan Hamas sendiri.
“Hamas menerima kenyataan bahawa serangan (ke atas Gaza) harus hentikan serangan, bebaskan Palestin dan Gaza, berikan ruang bantuan kemanusiaan, bebaskan semua tahanan baik di Gaza dan Israel.
“Tetapi butir-butir lanjut itu harus diperinci, dicerakin supaya semua pihak yang digabungkan terutama Hamas dan negara-negara Arab, jiran, negara-negara Islam. Bagi Malaysia apa sahaja yang diputuskan munasabah bersama-sama kita lakukan,” tambah beliau.
Hamas hari ini dilaporkan bersetuju menerima sebahagian daripada 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Pelan tersebut termasuk pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan pelan bagi pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.
Ia juga termasuk pelucutan senjata semua kumpulan bersenjata di Gaza serta pengunduran berperingkat Israel dari wilayah terbabit yang kemudiannya akan ditadbir pihak berkuasa teknokrat. – MalaysiaGazette
















