KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan cadangan perdamaian dalam konflik di Palestin oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebagai penipuan terbuka.
Malah, beliau turut mengumpamakan cadangan itu seperti `burung unta yang menyembunyikan kepala di dalam tanah, sedangkan badannya yang besar terbuka dengan nyata’ atau laksana `menutup bangkai dengan tapak tangan’.
Menurutnya, dunia digoda oleh pelan damai Trump dengan gencatan senjata itu termasuk menerusi tawaran laluan bantuan kemanusiaan serta perdamaian yang kekal di Gaza.
Dalam masa sama, katanya, pelan damai itu juga menyatakan syarat-syarat yang memberikan jaminan keamanan kepada Israel; melucutkan senjata Hamas serta memulangkan tawanan Israel dan mayat dengan tukaran membebaskan tahanan Palestin.
Selain itu, ujarnya, pelan tersebut juga mencadangkan tentera pengaman dari negara-negara Arab yang terpilih dan melantik bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Tony Blair selaku pengarah pentadbiran Gaza; meniru pendekatan ketika AS menakluk Iraq dahulu.
“Cadangan dilakukan setelah Israel gagal mencapai matlamat operasi menawan Gaza dan ketenteraannya tidak berjaya menghapuskan Hamas.
“Sangat terang lagi bersuluh bahawa tawaran tersebut merupakan jaminan keselamatan percuma kepada Israel atau menyelamatkan Israel daripada kekalahan, dengan cara Hamas menyerah kalah secara percuma,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian menerusi Minda Presiden Pas bertajuk Pelan Damai Selamatkan Israel seperti yang dimuat naik di dalam laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Trump menetapkan sehingga 6 petang Ahad waktu Washington untuk Hamas meluluskan pelannya.
Pelan itu antara lain bertujuan menjadikan Gaza sebagai zon bebas senjata dengan mekanisme pemerintahan peralihan yang di pantau secara langsung oleh Trump melalui sebuah badan antarabangsa yang ditugaskan mengawasi pelaksanaannya.
Ia termasuk pembebasan semua tawanan Israel dalam tempoh 72 jam selepas kelulusan, sebagai pertukaran kepada pembebasan ratusan tahanan Palestin dari penjara Israel.
Sementara itu, Abdul Hadi mengingatkan kaum Yahudi Zionis ketika ini sambil disaksikan seluruh dunia melakukan kezaliman yang paling ganas dan kejam dalam sejarah manusia.
Katanya, rejim itu membunuh kanak-kanak, kaum wanita, warga tua, dan pesakit di hospital, di samping menyerang rumah ibadat dan khemah penempatan mangsa peperangan, termasuk membunuh petugas kemanusiaan daripada pertubuhan antarabangsa.
Selain itu, ujar beliau, Israel turut disabitkan melakukan jenayah perang oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), namun AS dan sekutunya menggunakan kuasa veto membatalkan segala keputusan.
Keadaan itu, jelasnya, telah menggerakkan berbagai-bagai bangsa di seluruh dunia untuk membenci Israel, termasuk rakyat di negara yang menyokong Israel.
“Sebaliknya, Hamas dan semua kumpulan yang berperang menentang Israel menunjukkan akhlak Islam supaya tidak melampau dalam peperangan mempertahankan agama, umat, dan tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette















