KUANTAN – Serangan yang dibuat oleh DAPSY Kebangsaan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh bukan sahaja dangkal, malah jelas memperlihatkan wajah sebenar parti itu yang hanya tahu memaki tanpa hujah.
Pemuda UMNO Pahang menempelak tindakan DAPSY menuduh dan melabel Akmal sebagai ‘samseng’ dalam isu penyelamatan sukarelawan misi Global Sumud Flotila (GSF) berkata, Ketua Pemuda UMNO itu bersuara atas dasar prinsip kemanusiaan
“Kalau lantang membela demi kebebasan dan kemanusiaan pun dianggap samseng, lebih baik semua pemuda jadi tunggul kayu. Pemimpin muda mesti berani, bukan lembik macam DAPSY.
“Sokongan terhadap perdana menteri tidak bermaksud pemuda harus diam. Akmal tidak pernah menolak usaha kerajaan, tetapi beliau menegaskan agar suara rakyat jangan dibisukan.
“DAPSY cuba monopoli sokongan terhadap PMX demi kepentingan politik sempit mereka,” katanya dalam kenyataan.
Malah, Mohd Kamil menyifatkan sindiran DAP seperti kebudak-budakan kerana menghina Akmal yang ketika ini dipercayai berada di Amerika Syarikat.
Saranan DAP agar Akmal ‘serang White House’ dilabel Mohd Kamal sebagai hujah paling bodoh kerana seolah-olah tidak tahu perbezaan diplomasi antarabangsa dan pergaduhan di tepi jalan.
“Kenyataan sebegini hanya menyerlahkan kebodohan politik DAPSY.
“Kami menegaskan perjuangan membela Palestin tidak boleh dijadikan modal politik murahan oleh mana-mana pihak. Cara DAPSY menyerang Akmal Saleh membabi buta tak ubah seperti zionis laknatullah,” tambahnya lagi.
Semalam DAPSY dalam kenyataannya berkata, Akmal membuktikan reputasi sebagai samseng politik serta tidak berniat untuk membantu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelamatkan sukarelawan Malaysia dalam misi GSF.
Menurutnya, isu Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat yang perlu ditangani secara kolektif.
“Selepas perdana menteri segera membuat kenyataan keras mengenai isu Global Sumud Flotilla, semua pihak termasuk ahli politik tidak harus menjadikan isu ini sebagai pentas untuk menonjolkan ego politik atau menguji siapa lebih hero.
“Sekiranya begitu hebat, kenapa samseng politik tersebut yang kini berada di Amerika Syarikat (AS) tidak mengepung White House dan berdepan dengan Trump secara terus?
“Tidak perlulah menunggu Sidang Kemuncak ASEAN memandangkan diri sendiri sudah berada di situ. Hentikanlah segala aksi hipokrit,” ujar Pemuda DAP. – MalaysiaGazette
















