KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat akan memperuntukkan satu hari khas untuk Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen membentangkan penyata masing-masing.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, langkah tersebut diambil bagi memperkukuh akauntabiliti badan eksekutif kepada Parlimen serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai fungsi dan peranan Jawatankuasa Pilihan.
“Hari ini Dewan Rakyat mencatat satu lagi sejarah dalam memperkukuh akauntabiliti badan eksekutif kepada Parlimen apabila satu hari diperuntukkan khusus bagi urusan penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan berhubung penyata-penyata yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Ia bertujuan memberi pendedahan dan liputan luas kepada rakyat mengenai peranan Jawatankuasa Pilihan dalam membincangkan isu-isu semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Pembukaan Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15, hari ini.
Dalam masa sama, Johari turut menjelaskan kekeliruan mengenai dakwaan bahawa semua Rang Undang-Undang wajib dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kementerian (JKPK) selepas bacaan kali pertama.
Beliau menegaskan, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 80B(3)(a), tanggungjawab JKPK adalah untuk meneliti Rang Undang-Undang yang telah dibacakan kali pertama.
Manakala Peraturan Mesyuarat 80B(5) memberi kuasa kepada JKPK untuk memanggil kementerian bagi memberi penjelasan lanjut berhubung sesuatu rang undang-undang.
“Rang Undang-Undang yang diluluskan tanpa JKPK memanggil kementerian untuk memberi penjelasan tetap dianggap sah dan teratur kerana pembentangan kepada JKPK bukan sebahagian daripada proses meluluskan sesuatu undang-undang.
“Sebaliknya, ia merupakan platform rasmi bagi kementerian mendapatkan maklum balas awal berhubung Rang Undang-Undang yang akan dibentangkan,” tambahnya.
Beliau turut menasihatkan ahli-ahli Dewan Rakyat supaya membuat pentafsiran Peraturan Mesyuarat secara menyeluruh dan bukan secara terpisah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat
Sidang kali ini akan berlangsung selama 35 hari, dengan tumpuan utama kepada pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2026.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 19 Rang Undang-Undang (RUU) telah diluluskan oleh Dewan Negara pada Mesyuarat Kedua yang lalu.
Antara RUU yang diluluskan termasuk RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 serta RUU Kredit Pengguna 2025. – MalaysiaGazette
















