SERDANG – Dianggarkan sebanyak tiga atau empat dron berlegar di atas kapal Conscience yang membawa sembilan delegasi Malaysia dalam misi flotilla Freedom Flotilla Coalition X Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTGM) ketika ini di Laut Mediterranean.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, perkembangan terkini itu disahkan oleh Ketua Delegasi Malaysia, Profesor Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali dalam insiden yang berlaku kurang dari 250 batu nautika dari pantai Gaza.
Menurut beliau, operasi dron tersebut merupakan strategi biasa tentera Israel untuk melonggarkan semangat delegasi yang dijangka memasuki zon kuning dalam tempoh kurang 24 jam.
“Kapal Conscience yang membawa lapan delegasi Malaysia sedang mengatur strategi untuk memperlahankan pelayaran untuk menunggu lapan kapal layar lagi termasuk kapal Umm Saad yang membawa seorang delegasi Malaysia untuk bergabung menuju ke zon kuning.
“Sepatutnya mereka sampai semalam namun penukaran strategi menyebabkan mereka tiba lewat ke zon kuning,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Delegasi Malaysia itu diketuai oleh MyCARE membawa lapan delegasi Malaysia yang belayar di atas kapal Conscience dan seorang lagi delegasi di atas kapal layer Umm Saad.
Kamarul Zaman menambah, delegasi Malaysia di atas kapal Conscience juga membuat siaran langsung bersama pihak Hospital Al-Awda di Gaza dan hospital melaporkan situasi di klinik-klinik mereka sangat kekurangan peralatan dan bekalan perubatan.
Jelas beliau, mereka terpaksa menggunakan kaedah konvensional dalam merawat pesakit selain menggunakan kreativiti untuk ubah suai peralatan perubatan sedia ada.
“Di sini kita lihat organisasi antarabangsa perlu memberi tekanan dan desakan berterusan kepada Israel bagi menghentikan kekejaman dan jenayah genosid serta membolehkan kemasukan ubat-ubatan, bekalan peruabatn dan makanan ke hospital,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr. Fauziah Mohd. Hasan turut menitipkan pesan insiden yang berlaku semasa misi Global Sumud Flotilla sebelum ini yang dipintas dan ditahan tentera Israel tidak melunturkan semangat mereka.
Sementara itu, Conscience yang merupakan kapal terbesar melibatkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga orang ahli Parlimen, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Mereka seramai 93 perserta dari 22 buah negara telah berlepas dari Porto Otranto, Itali, pada 30 September lalu.
Lapan wakil Malaysia berada dalam kapal iaitu Profesor Emeritus Dr MohdAlauddin Mohd Ali yang juga Ketua Delegasi Malaysia dan tiga doktor perubatan iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Dua pensyarah turut serta iaitu Profesor Dr Mohd Afandi Salleh dan DrNoorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Sementara itu, doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas Kapal Umm Saad bersama tujuh kapal layar lain yang telah berlepas dari Catania di Sicily menuju ke Gaza pada 27 September lalu.
Secara keseluruhan misi ini melibatkan kira-kira 150 peserta dari 25 buah negara termasuk sembilan orang delegasi Malaysia. – MalaysiaGazette
















