KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya susulan insiden hidangan minuman keras di majlis Global Travel Meet 2025 Gala Dinner, yang dibangkitkan sejak kebelakangan ini.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia (Armada), Harris Idaham Rashid berkata, kegagalan berbuat demikian akan membawa naratif kepada rakyat bahawa golongan atasan sering terkecuali daripada tindakan undang-undang akan menjadi kukuh secara automatik.
“Untuk kesalahan besar berkenaan hidangan arak, kerajaan perlu buktikan bahawa prinsip akauntabiliti itu wujud dalam pentadbiran,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau menyifatkan, penjelasan Datuk Seri Tiong King Sing yang melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada pemain industri jelas kenyataan yang memandang rendah tahap kecerdikan rakyat.
Katanya, ini kerana jelas dalam itinerari majlis itu dinyatakan Global Travel Meet 2025 yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia.
“Pihak kementerian jangan sesekali mencuba untuk menolak tanggungjawab pengajuran kepada pihak lain,” tambah beliau.
Harris berkata, sebelum ini beberapa isu pernah tercetus akibat kecuaian Kementerian Pelancongan antaranya video Tahun Melawat Malaysia 2026; Penurunan pangkat bekas Ketua Pengarah TM Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar; kekecohan di KLIA melibatkan pelancong daripada China dan beberapa lagi.
Sehubungan itu beliau berkata, seluruh kepimpinan kementerian tersebut sepatutnya mengambil tanggungjawab mengakui kecuaian dan memohon maaf kepada rakyat secara terbuka.
“Hentikan justifikasi yang makin lama makin menjadi bahan jenaka netizen,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
















